Anda di sini

Semua pihak diseru beri perkhidmatan terbaik

Advertisement
 Sultan Mizan (kanan) berkenan bersalaman dengan sebahagian Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu selepas merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-13 di Wisma Darul Iman semalam. — Gambar Bernama
PERASMIAN: Sultan Mizan (kanan) berkenan bersalaman dengan sebahagian Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu selepas merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-13 di Wisma Darul Iman semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017.

Titah baginda, usaha kerajaan negeri untuk memperkembangkan lagi sektor pelancongan sebagai alternatif jangka masa panjang kepada sektor minyak dan gas adalah strategi yang tepat.

Kedatangan pelancong ke Terengganu telah menyaksikan peningkatan yang positif. Ia adalah hasil inisiatif semua pihak secara berterusan terutama dalam usaha galakan dan promosi pelancongan.

Justeru, aspek kebersihan dan keselamatan di pusat tarikan pelancong perlu diberi fokus utama agar pelancong yang datang ke Terengganu sentiasa berasa selamat dan aman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di DUN di sini semalam.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria, Yang Dipertua DUN Datuk Mohd Zubir Embong dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri.

Selain memuji usaha kerajaan negeri dalam sektor pelancongan, Sultan Mizan juga gembira dengan inisiatif yang diperkenalkan dalam memastikan keperluan perumahan untuk rakyat dapat dipenuhi semaksimum mungkin.

Baginda juga berharap lebih banyak lagi projek perumahan dapat dilaksanakan supaya lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah yang menjadi idaman mereka.

Sultan Mizan juga menyambut baik langkah pengawalan bajet pada tahun ini kerana ia bertepatan dengan situasi ekonomi dunia yang sangat mencabar ketika ini.

Beta melihat usaha transformasi dalam ekonomi telah mula menampakkan hasil di mana rekod Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menunjukkan peningkatan jumlah pelaburan sebanyak 64 peratus iaitu RM2.1 bilion pada tahun 2016 berbanding RM1.4 bilion pada 2015.

Beta juga amat sukacita dengan cadangan pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan yakin rakyat akan mendapat manfaat dan kesan langsung daripada projek infrastruktur yang sangat strategik ini,” titah baginda. 

Seterusnya, baginda menyeru kerajaan negeri agar mengeratkan lagi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agensi dan badan berkanun bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Baginda bertitah semua usaha yang dilakukan kerajaan negeri dan kerjasama kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi, kebajikan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang itu diharap mampu mencetuskan lebih banyak kisah kejayaan pada masa akan datang. 

Tanamkan azam, perkukuhkan iltizam, sentiasalah bergerak ke hadapan, sederap dan selangkah, berpadu tenaga bagi memastikan pembangunan Terengganu sentiasa mencapai kemajuan dan rakyatnya sentiasa menikmati keamanan dan kemakmuran.

Beta berharap kerajaan negeri di bawah pimpinan Memanda Beta, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam akan mendapat petunjuk dan bimbingan Illahi dalam menyempurnakan tanggungjawab secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah dan berintegriti,” titah baginda. — Bernama

Advertisement