Anda di sini

Fadillah lancar kempen Perangi Dadah Habis-Habisan 2.0

Advertisement

KUCHING: Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan 2.0 dilancarkan semalam lanjutan daripada kempen yang dilancarkan tahun lepas di Lawas sempena sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Bertemakan ‘Pencegahan Dadah Bermula Dari Rumah’, kempen tersebut dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof di Giant Samariang, Petra Jaya dekat sini.

Pada kempen itu semalam, turut diadakan penyampaian watikah pelantikan Focal Person Antidadah #Perangi Dadah Habis-Habisan kepada Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Turut disampaikan watikah pelantikan Icon Antidadah #Perangi Dadah Habis-Habisan kepada Fazzrudin Abdul Rahman dan Ibrahim Kipli.

Hasidah dan Fazzrudin masing-masing merupakan ADUN Samariang dan Tupong manakala Ibrahim merupakan Pegawai Daerah Kuching.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Datu Jabidah Monseri berkata negara masih berhadapan dengan masalah dadah meskipun usaha untuk memerangi gejala ini telah dilaksanakan sejak 1983.

Lebih membimbangkan dimana majoriti daripada mereka yang terlibat dalam gejala ini adalah dari kalangan belia berumur 18 tahun.

Syabu merupakan ancaman besar bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di seluruh dunia.

Sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam gejala penyalahgunaan dadah ini,” katanya.

Dalam pada itu, kempen bermula seawal jam 9.00 pagi semalam merupakan anjuran AADK Negeri Sarawak dengan kerjasama Agensi Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan serta PEMADAM.

Antara aktiviti yang diadakan sempena kempen itu semalam ialah pameran oleh pelbagai agensi, tayangan video dan iklan kesan dadah, kuiz, persembahan busking serta banyak lagi.

Kempen tersebut adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah disamping menyedarkan ahli komuniti termasuk pemimpin komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan aktiviti memerangi dadah.  

Advertisement