Anda di sini

Permohonan wang ihsan banjir, Violet sangkal dakwaan Tan Kai

Advertisement

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong semalam menyangkal dakwaan Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai bahawa permohonan wang ihsan banjir tidak dapat dikemukakan kepada Pejabat Daerah melalui wakil rakyat dipilih seperti beliau.

Menurut Violet, apa yang dikatakan oleh Tan Kai itu adalah tidak benar berdasarkan kepada pengalaman beliau sendiri yang telah membantu rakyat dalam kawasannya yang terjejas akibat banjir memperolehi wang ihsan tersebut.

“Semua kita tahu bahawa awal tahun 2016 lalu berlaku banjir yang amat teruk di negeri ini termasuk di beberapa tempat dalam kawasan saya di Bintawa dekat sini.

“Susulan banjir itu, saya telah menghantar senarai 37 orang yang terjejas akibat banjir tersebut kepada Pegawai Daerah dan pada Oktober tahun yang sama kesemua permohonan mereka diterima oleh Pejabat Daerah.

“Ini jelas membuktikan bahawa Tan Kai adalah salah apabila beliau mendakwa permohonan ini hanya dapat dikemukakan kepada Pejabat Daerah menerusi pemimpin masyarakat dalam kawasan yang terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini semalam.

Tambah Violet, ini bukan pertama kali pemimpin dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memperkecilkan usaha yang dibuat oleh pemimpin DAP untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Sebagai contoh, katanya, wang ihsan banjir mula diberikan kepada rakyat hanya selepas Chong Chieng Jen (Pengerusi DAP Negeri) mengemukakan cadangan itu pada 2009.

Namun, Violet mendakwa cadangan itu ditolak oleh pemimpin SUPP termasuk Datuk Yong Khoon Seng iaitu Ahli Parlimen Stampin ketika itu yang beranggapan bahawa negeri akan bankrap jika wang ihsan diberikan kepada rakyat.

“Kami dalam DAP sentiasa memikirkan kebajikan rakyat dan SUPP tidak mempunyai idea bernas untuk membantu rakyat dan hanya mengikut apa yang diputuskan oleh Ketua Menteri.

“Tetapi lihat sekarang, wang ihsan ini dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir meskipun jumlahnya adalah rendah,” kata Chong.

Chong turut berharap wang ihsan banjir ini akan ditambah kepada kadar yang lebih tinggi mengambil kira peningkatan kos hidup semasa.

Advertisement