Anda di sini

Tiada tahanan baharu kes Jong-nam di IPD Sepang

Advertisement

SEPANG: Tiada individu baharu yang ditahan berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, kata Timbalan  Ketua Polis Daerah Sepang Supt Baharuddin Mat Taib.

“Tahanan baharu (kes Jong-nam) setakat ini, tiada,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada suspek baharu kes berkenaan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini.

Beliau ditemui pada majlis pelupusan komputer judi haram di IPD Sepang hari ini membabitkan 1,700 set mesin komputer bernilai RM215,000 yang dirampas dalam 1,200 serbuan sepanjang 2015.

Baharuddin berkata sebarang perkembangan kes berkenaan akan diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahad lepas, Khalid berkata terdapat beberapa lagi individu baharu   termasuk warga Korea Utara dan ‘orang penting’ dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam itu.

Sebelum ini, IPD Sepang menjadi tumpuan dunia apabila media tempatan dan antarabangsa berkampung di kawasan itu semasa dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam ditahan kerana disyaki membunuh Jong-nam.

Pernah ditahan di IPD Sepang bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu ialah rakyat Korea Utara, Ri Jong-chol, yang telah diusir ke negara asalnya.

Jong-nam didakwa dibunuh dua wanita asing itu yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. — Bernama

Advertisement