Anda di sini

Penyu mati akibat syiling ‘nasib baik’

Advertisement
 Gambar fail 6 Mac menunjukkan doktor haiwan bersiap sedia untuk membedah Omsin di Fakulti Sains Veterinari, Universiti Chulalongkorn di Bangkok. — Gambar Reuters
MATI: Gambar fail 6 Mac menunjukkan doktor haiwan bersiap sedia untuk membedah Omsin di Fakulti Sains Veterinari, Universiti Chulalongkorn di Bangkok. — Gambar Reuters

BANGKOK: Seekor penyu laut yang digelar ‘Tabung’ mati selepas komplikasi akibat pembedahan untuk mengeluarkan hampir 1,000 keping wang syiling yang ditelannya, menurut pakar veterinari Thailand semalam.

Reptilia itu disangkakan sedang pulih dengan baik daripada pembedahan tujuh jam yang julung kali diadakan awal bulan ini untuk mengeluarkan lima kilogram wang syiling yang memenuhi saluran penghadamannya - ‘syiling nasib baik’ yang dibuang ke dalam kolam tempat tinggalnya.

Tetapi keadaannya semakin teruk pada hujung minggu lalu selepas mengalami keracunan darah akibat masalah usus yang teruk selepas pembedahan itu.

‘Omsin’ yang bermaksud ‘Tabung’ dipercayai berusia 25 tahun.

Nasib haiwan itu yang direkodkan dalam perincian kemas kini berita harian, menarik belas kasihan ramai warga Thai dan menimbulkan persoalan mengenai keper-cayaan tradisional terhadap nasib baik dan kebajikan haiwan di negara itu.

“Pada jam 10.10 pagi tadi ia mati dengan aman,” kata Nantarika Chansue, doktor haiwan yang bertanggungjawab ke atas pusat penyelidikan akuatik Hospital Chulalongkorn, kepada wartawan semalam.

“Ia adalah rakan, guru dan pesakit saya,” katanya dengan tangisan.

Penyu itu sudah dua dekad menghuni kolam kecil di sebuah taman awam di wilayah Chonburi, di mana para pelawat membuang wang syiling ke dalamnya untuk mendapat nasib baik.

Doktor haiwan berharap liputan media mengenai haiwan yang jatuh sakit itu akan membuatkan rakyat Thai berfikir dua kali sebelum membuang wang syiling ke dalam kolam yang dihuni haiwan. — AFP

Advertisement