Anda di sini

KBBIHS mampu jadi ikon generasi muda

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang menyokong penubuhan Kelab Bina Badan Iron Hardcore Samarahan (KBBIHS) bagi menggalakkan anak-anak muda menceburi sukan bina badan.

 Beliau berkata, dengan adanya ahli-ahli terdiri bekas jaguh sukan bina badan negeri, negara, antarabangsa mahupun dunia, KBBIHS mampu menjadi ikon generasi muda di kawasan Muara Tuang bersama-sama berjaya dalam sukan tersebut.

 “Dengan adanya ahli-ahli bina badan pernah mewakili dan memenangi kejohanan bina badan peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa dapat menjadi ikon kepada anak-anak muda membina kerjaya dalam sukan ini,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian KBBIHS di bilik kuliah Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini malam kelmarin.

 “Malah, kebanyakan ahli kelab ini pernah memenangi kejohanan sukan bina badan peringkat kebangsaan serta luar negara dan mereka mampu membentuk pelapis baharu boleh diketengahkan sekali gus berjaya dalam sukan ini,” tambahnya.

 Pada majlis itu, Idris mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sejumlah RM10,000 kepada kelab tersebut bagi menjalankan aktiviti mereka.

 Terdahulu, Pengerusi KBBIHS Mohd Zulkarnian Abdullah berkata kelab itu ditubuhkan pada tahun lalu dan kini mempunyai sekitar 40 orang ahli.

 “Penubuhan kelab ini adalah bagi membantu dan membangunkan ahli-ahli kelab bina badan bagi menghadapi pertandingan pada masa hadapan,” katanya.

 Ahli-ahli kelab pernah melakarkan kejayaan ialah Buda Anchah dan Melverrn Abdullah pemenang Mr World, Nolan Chee dan George Awi William (Mr International), Wilfred Harding, Donny Dam dan Joseph Ladi (Mr Malaysia), Louis Glass, Edison Eddie Dison, Mohamad Kamarudin Mustafa dan Huang Chee Yan (Mr Sarawak) dan Siti Hajjar Awang Hitam (Mrs Internasional).

Advertisement