Anda di sini

Festival Pra-Gawai Samarahan di Aiman Mall pada 14-20 Mei depan

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak serta institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kerajaan akan menganjurkan Festival Pra-Gawai Samarahan di Aiman Mall di sini dari 14 hingga 20 Mei depan.

Pesta dengan tema ‘Segulai, Sejalai, Sepenemu’ merangkumi Bazar Gawai Dayak menjual pelbagai makanan serta minuman Dayak, bermula 14 Mei di premis pasar raya itu.

Festival itu diadakan sempena sambutan Gawai Dayak yang pada 1 Jun nanti.

Majlis perasmian akan diadakan pada 20 Mei ini dan pelbagai acara akan diadakan termasuk persembahan kebudayaan, kugiran, penyanyi terkenal Dayak serta pertandingan kumang dan keling.

Saringan pertama pertandingan kumang dan keling akan diadakan pada 19 Mei dan pusingan akhir pada 20 Mei.

Pengerusi penganjur Florince Christy, berkata prapelancaran akan diadakan sepanjang satu minggu Bazar Dayak berlangsung pada 10 pagi pada 14 Mei manakala majlis pelancaran pada 3 petang pada 20 Mei.

Pengerusi MPKS Dato Peter Minos dijadual merasmikan majlis prapelancaran festival berkenaan pada 14 Mei ini.

Florince berkata pengerusi penganjur akan menjemput Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk merasmikan majlis pelancaran sebenar pada 20 Mei.

Tambahnya, Bazar Gawai Dayak akan menjual makanan halal dan bukan halal yang dijual di lokasi berasingan.

Sementara itu, Minos berkata selain Pra-Gawai Samarahan, MPKS juga merancang menganjurkan festival-festival berasingan sempena Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 25 Jun 2017 dan Tahun Baharu Cina 2018.

Tarikh sebenar festival-festival telah ditetapkan pada 11 November 2017 sempena sambutan ulang tahun pertama penubuhan MPKS pada 11 November 2016,” katanya yang juga sebagai penasihat Festival Pra-Gawai Samarahan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat di sini semalam bagi menentukan bidang tugas pelbagai jawatankuasa kecil yang ditubuhkan bagi menjayakan festival berkenaan.

Advertisement