Anda di sini

Dua profil DNA ditemui dalam kes bunuh Kayong

Advertisement

MIRI: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu sebanyak 48 barang kes telah dianalisis dan hasilnya berjaya menemui dua penyumbang kepada profil DNA.

Menurut Pegawai Saintifik di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kuching Zaliha Saudi, seorang daripada penyumbang profil DNA itu adalah tertuduh pertama, Mohd Fitri Pauzi manakala profil satu lagi milik individu lain.

Katanya, Mohd Fitri hanya merupakan penyumbang kecil kepada profil DNA yang lemah.

Walaupun beliau hanya penyumbang kecil namun kewujudan DNAnya tidak dapat dinafikan apabila dijumpai di 13 dari 16 lokasi analisis yang dibuat ke atas sehelai seluar jeans,” katanya.

Zaliha, 37, memberitahu demikian ketika dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan empat lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dituduh membunuh aktivis sosial, Bill Kayong pada 21 Jun 2016.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-12 memberitahu, antara barang kes dianalisis ialah sehelai baju, sehelai seluar jeans, sebuah beg pinggang, satu topeng muka, sampel kuku si mati dan beberapa puntung rokok.

Dalam keterangan lanjut, saksi memberitahu sebaik menerima barang kes daripada Pegawai Penyiasat ASP Lee Chee Keat pada 21 Julai 2016, barang-barang itu kemudian disimpannya dalam bilik kebal di Makmal Serologi, JKM Kuching.

Proses analisis telah dilakukan beliau sendiri dengan dibantu seorang pegawai kanan makmal.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Perbicaraan akan bersambung Isnin depan dengan empat  saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Selain Zaliha, turut memberi keterangan pada perbicaraan yang masuk hari kelima semalam ialah ASP Lawrence Rawing dan ASP Francis Boniface Barau.

Lawrence merupakan saksi ke-13 dan Francis saksi ke-14 yang masing-masing merupakan pegawai di Cawangan D9 Bahagian Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Dalam keterangannya, Lawrence memberitahu bahawa pada jam 5.15 petang, 30 Jun 2016 beliau bersama tiga anggota telah menangkap Mohd Fitri di pekarangan Balai Polis Pusat Miri.

Manakala ASP Francis memberitahu bahawa tertuduh kedua, Lie Chang Loon  ditangkap jam 8.10 malam, di sebuah restoran di sini.

Perbicaraan kes akan bersambung hari ini.

Advertisement