Anda di sini

Tiga pemain tonggak kembali

Advertisement
 Sufizal (dua kanan) mengepalai rakan-rakan sepasukan menjalani latihan selepas kembali daripada kecederaan di Kuching semalam.
BERAKSI SEMULA: Sufizal (dua kanan) mengepalai rakan-rakan sepasukan menjalani latihan selepas kembali daripada kecederaan di Kuching semalam.

Tempoh rehat dua minggu dimanfaatkan skuad Kuching FA bertemu PJ Rangers FC

KUCHING: Tempoh rehat dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad Kuching FA untuk memantapkan persiapan mereka menghadapi PJ Rangers FC dalam kempen Piala FAM pada Ahad depan (19 Mac) di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.

 Pengendalinya, Sahrizan Sahari berkata tiga pemain tonggak direhatkan pada perlawanan menentang SAMB FC minggu lalu telah pulih sepenuhnya dan dapat diturunkan pada perlawanan minggu depan.

 “Ini berita amat menggembirakan untuk skuad Kuching FA dengan tiga pemain utama itu Sufizal Ismail, Mohamad Fareez Tukijo dan Mohammad Shafitri Salim sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

 “Malah, pertahanan skuad kita juga kembali mantap setelah Remenor Pit dapat beraksi semula selepas bebas penggantungan sekali gus memberi keyakinan memastikan kemenangan,” katanya di sini semalam.

 Bagaimanapun, seorang lagi jentera penggempur - Mohamad Asrullah Drahman terpaksa direhatkan sepanjang bulan ini kerana belum pulih daripada kecederaan retak tulang belakang.

 Sahrizan berkata, situasi itu tidak menggusarkan kerana beliau masih mempunyai pemain- pemain lain yang mampu menggalas tugas ditinggalkan oleh Asrullah.

 “Kita tiada isu kekurangan pemain kerana semuanya boleh beraksi dengan baik dan ini dibuktikan semasa perlawanan menentang SAMB FC minggu lalu.

 “Cuma, kita kurang penyudah yang berkesan dan di situ peranan penyerang berpengalaman seperti Sufizal dan Arsullah amat diperlukan.

 Namun, saya tetap yakin dengan kemampuan penyerangpenyerang lain untuk melaksanakan tugas diamanahkan,” tambahnya.

 Mengenai peluang bertemu PJ Rangers, Sahrizan optimis anak-anak didiknya mampu menjinakkan skuad berpangkalan di Selangor itu.

 Ini kerana, katanya, skuad Kuching FA berada dalam ‘mood’ terbaik dengan kehadiran semula pemain-pemain utama.

 “Sokongan penyokong tempatan akan menyemarakkan peluang kita untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri nanti.

 “Sudah tentu kita tidak mahu keciciran mata di tempat sendiri, tambahan kita juga mahu memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya.

 Kuching kini menduduki tangga kelima dalam Kumpulan B dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Advertisement