Anda di sini

Proses latihan amali doktor pelatih dikaji semula

Advertisement

106 pegawai perubatan dibuang kerja kerana ponteng dipercayai akibat tekanan tugas: Ali Hamsa
 

MIRI: Seramai 106 pegawai perubatan majoritinya terdiri daripada doktor pelatih dibuang kerja kerana tidak hadir tugas lebih 400 hari kemungkinan berpunca daripada tekanan tugas harian.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ia satu kerugian berikutan ada dalam kalangan mereka cemerlang dalam bidang perubatan serta ada ditanggung kerajaan.

“Kita mengkaji semula proses latihan amali perlu dijalani doktor pelatih kerana tidak mahu mereka berasa tekanan atau sakit jiwa masa bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Program Ziarah Kebajikan Persatuan Pegawai Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di Hospital Miri semalam.

Ali Hamsa berkata kemungkinan doktor pelatih ini menghadapi tekanan berlebihan dan kerajaan berasa terpanggil mencari punca tidak hadir atau menghilang diri daripada tugas.

Menurutnya masalah tekanan ini berlaku di seluruh negara tanpa mengira jenis hospital atau lokasi, sehubungan itu doktor pelatih ini perlu meluangkan masa membantu satu sama lain.

“Kita faham bidang tugas sektor perubatan ini amat serius dan kita berharap doktor berpengalaman memantau doktor pelatih atau membantu menghadapi tekanan semasa bertugas,” jelasnya.

Ali Hamsa berkata bagi memastikan sejumlah 400 kekosongan pegawai perubatan diisi, kerajaan menawar jawatan secara kontrak menambah doktor baharu.

“Kita menawarkan jawatan secara kontrak bagi tempoh tiga tahun kepada doktor baharu. selepas itu mereka boleh memilih sama ada ingin terus bekerja di sektor awam atau swasta,” jelasnya.

Ali Hamsa turut berpuas hati kemudahan di Hospital Miri termasuk perkhidmatan cemerlang kakitangan hospital berkenaan disifat antara hospital terbaik di Malaysia.

Menurutnya suasana pekerjaaan kondusif dan selesa turut memberi kesan kepada prestasi kerja sektor perkhidmatan awam khasnya bagi pegawai dan petugas Hospital Miri.

Ali Hamsa juga berharap kontraktor yang berjaya mendapat tender kerajaan untuk membina atau membaikpulih bangunan kerajaan agar melaksanakannya mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sebagai contoh, projek untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu diberi perhatian segera kerana rakyat amat memerlukan perkhidmatan dari dua kementerian itu.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PUSPANITA Puan Sri Datuk Rohani Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman, Timbalan Ketua Setiausaha  Kanan, Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hassim dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu.

  • oleh
  • Advertisement