Anda di sini

Kerjasama wanita, lelaki jamin kemajuan negeri

Advertisement

Pelbagai rintangan diharungi untuk mencapai status yang jauh berbeza dari masa dahulu: Juma’ani

KUCHING: Kaum wanita di negeri ini disaran terus menjalin kerjasama erat dengan kaum lelaki tanpa membezakan pangkat, darjat, kaum dan agama.

Isteri Ketua Menteri Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan wanita terus maju sekali gus menjamin kemajuan negeri ini.

“Kaum wanita telah berjaya mengharungi pelbagai rintangan sehingga ada yang telah menyandang jawatan tinggi sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

“Justeru, saya berharap wanita kita di Sarawak akan terus bekerjasama dengan ikhlas hati dan bersatu hati antara satu lain bersama kaum Adam supaya negeri ini terus maju ke depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2017 yang bertemakan ‘Berani Untuk Berubah: Kuasa Wanita’ bertempat di Dewan Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Juma’ani berkata, pada masa ini tidak dinafikan peranan dan status wanita sudah jauh berubah jika dibandingkan masa dahulu.

“Malaysia hari ini telah melahirkan ramai tokoh wanita yang disanjungi termasuk Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain serta Tan Sri Dato Ungku Dr Zeti Akhtar Ungku Aziz.

“Ibu Zain menglibatkan diri dalam bidang politik, menambah jasa dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat, malah juga bekas guru saya dari Johor Bahru.

“Manakala Dato Zeti pula menjadi wanita pertama menyandang jawatan paling terkemuka dalam bank iaitu Bank Negara Malaysia sekali gus menjadi salah seorang wanita yang paling berkuasa di Malaysia.

“Kedua-dua tokoh wanita negara ini sangat dikagumi dan disanjungi,” jelasnya.

Pada majlis itu juga, Juma’ani turut melancarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Cepat, Cekap dan Tepat (CCT) Hentikan KeganasanTerhadap Wanita dan Kanak-Kanak.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dirai pada tanggal 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia dan diadakan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita atas sumbangan dan penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi, sosial, politik serta kepimpinan.

Turut hadir ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Jawatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) Noriah Ahmad.

  • oleh
  • Advertisement