Anda di sini

Skandal Choi heret empayar Samsung

Advertisement

Pewaris dan empat eksekutif nafikan kesemua tuduhan dalam konspirasi rasuah

 Kombinasi gambar fail menunjukkan (dari kiri) Lee, presiden Samsung Electronics Park Sang-jin dan naib presiden eksekutifnya Hwang Sung-soo serta presiden Samsung Group Chang Choong-ki dan naib pengerusinya Choi Gee-sung. — Gambar AFP/Reuters

TERJEJAS: Kombinasi gambar fail menunjukkan (dari kiri) Lee, presiden Samsung Electronics Park Sang-jin dan naib presiden eksekutifnya Hwang Sung-soo serta presiden Samsung Group Chang Choong-ki dan naib pengerusinya Choi Gee-sung. — Gambar AFP/Reuters

SEOUL: Pewaris empayar perniagaan Samsung menafikan kesemua tuduhan berhubung skandal rasuah meluas, kata peguamnya pada perbicaraan awal semalam.

Lee Jae-Yong, 48, tidak hadir di Mahkamah Daerah Pusat Seoul untuk perbicaraan itu, yang diadakan ketika syarikat gergasinya, pembuat telefon pintar terbesar di dunia, bergelut untuk pulih daripada skandal penarikan balik telefon.

Lee, naib pengerusi Samsung Electronics, ditahan reman atas tuduhan rasuah, sumpah bohong dan kesalahan lain yang berpunca daripada skandal yang menyaksikan Presiden Park Geun-Hye didakwa oleh Parlimen.

Empat eksekutif Samsung lain juga sudah didakwa.

Semua orang menafikan semua tuduhan,” kata peguam bela kepada mahkamah di perbicaraan itu, yang berakhir selepas lebih sejam.

Pendakwaan rasmi pendakwa raya tidak lengkap, dengan beberapa tuduhan yang tidak ada bukti jelas dan hanya berdasarkan keadaan sahaja, kata pihak pembelaan.

Tertuduh didakwa membayar rasuah hampir AS$40 juta (RM180 juta) kepada rakan karib Park, Choi Soon-Sil, untuk mendapatkan bantuan dasar.

Bilik mahkamah kira-kira 80 peratus penuh, dengan puluhan pemberita, pelajar serta beberapa warga emas dan pertengahan umur.

Apabila salah seorang peguam Lee selesai membaca kenyataannya, seorang wanita tua segera berdiri dari tempat duduknya dan menjerit: “Bolehkah anggota awam menanyakan soalan?”

Permintaannya ditolak hakim, dan dia dikeluarkan anggota keselamatan apabila masih berdegil.

Lee sudah mengemudi Samsung sejak bapanya mengalami serangan jantung pada 2014.

Salah satu bantuan yang Lee dikatakan cuba dapatkan daripada Park adalah kelulusan kerajaan bagi satu penggabungan kontroversi pada 2015 di antara dua unit Samsung yang dilihat sebagai satu langkah penting untuk memastikan pemindahan kuasa yang lancar kepadanya.

Skandal rasuah itu berpunca daripada Choi yang dituduh menggunakan hubungannya yang erat dengan presiden untuk memaksa syarikat tempatan menderma hampir AS$70 juta (RM315 juta) kepada yayasan tidak mencari keuntungan, yang Choi didakwa gunakan untuk keuntungan sendiri.

Samsung, kumpulan perniagaan terbesar Korea Selatan dengan pendapatan bersamaan 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, satu-satunya penderma terbesar kepada yayasan terbabit.

Ia juga dituduh memberi jutaan euro kepada Choi untuk membiayai latihan ekuestrian anak perempuannya di Jerman.

Penangkapan Lee, yang pertama bagi seorang ketua Samsung, mengejutkan syarikat dan mencetuskan pengumuman mengenai pembaharuan besar-besaran ke atas stail pengurusannya dari atas ke bawah.

Seorang pewaris Hanwha Group, konglomerat kelapan terbesar di Korea Selatan, disabit kesalahan dan diberi hukuman penjara tertangguh kelmarin atas tuduhan termasuk melakukan serangan selepas satu pergaduhan dalam keadaan mabuk di sebuah bar. — AFP

Advertisement