Anda di sini

Jamilah Anu mengangkat sumpah ADUN Tanjong Datu

Advertisement

 Jamilah menandatangani dokumen di hadapan Asfia (kanan) sambil disaksikan Abang Johari (belakang) selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN Tanjong Datu di Kuching, semalam.KUCHING: Datuk Amar Jamilah Anu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu pada majlis yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Majlis angkat sumpah disempurnakan di hadapan Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan disaksikan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Jamilah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Stephen Bau dan Sekolah Menengah Kerajaan Bau sebelum melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA Kampus Sabah.

Beliau berkelulusan Diploma Sains Kesetiausahaan dan bergiat aktif dalam kerja-kerja amal.

Jamilah juga merupakan pengerusi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Barisan Nasional (SABATI) sehingga Januari 2017.

Atas khidmat bakti serta penglibatan aktif beliau dalam kerja-kerja amal, Jamilah dianugerahkan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (PBS) pada 1996 dan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Dato’ pada 2003.

Jamilah turut menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib sempena Sambutan Hari Wanita 2014 Peringkat Negeri dan Anugerah Timbalan Pesuruhjaya RELA (Kehormat) pada 2016.

Beliau dianugerahkan Pingat Datuk Amar Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk Amar oleh Yang di-Pertua Negeri pada September 2016 sempena Sambutan Hari Jadi TYT ke-80.

Jamilah dilantik sebagai ADUN setelah menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tanjong Datu pada Februari lalu dengan majoriti 6,443 undi menewaskan dua calon lain daripada Parti Bansa Dayak Bersatu Baharu (PBDSB) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Jamilah merupakan isteri bekas Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017 akibat masalah komplikasi jantung.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing, menteri-menteri kerajaan negeri, menteri-menteri muda dan ketua-ketua jabatan.

Advertisement