Anda di sini

Pertandingan Yoyo Wilayah Sarawak 2017 dijadual berlangsung 19 Mac ini

Advertisement

KUCHING: Kelab Yo-Blitz Kuching akan menganjurkan Pertandingan Yoyo Wilayah Sarawak 2017 yang dijadual berlangsung 19 Mac ini bertempat di Kuching Sentral.

 Pengerusi Kelab Yo- Blitz Kuching Ryan Han berkata, pertandingan edisi ketujuh itu turut mendapat sokongan daripada Rakan Bestye Sarawak, Persatuan Yo Yo Malaysia, Kuching Sentral dan beberapa penaja lain.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabat beliau di Wisma Sultan Tengah semalam.

 “Pertandingan ini diadakan bertujuan mengembalikan semula permainan yoyo yang pernah menjadi kegilaan remaja satu ketika dulu.

 “Sejak bertahun, permainan yoyo kian dilupai dan kami, Kelab Yo-Blitz mengambil inisiatif menghidupkan semula hobi ini untuk menggalakkan golongan remaja terlibat dalam aktiviti sihat selain memupuk bakat dan minat mereka dalam permainan ini,” katanya.

 Menurut Ryan, kelab itu telah menganjurkan banyak kejohanan seperti pertandingan peringkat wilayah, bandar, negeri dan kebangsaan sejak 2010.

 Tambahnya, seramai 30 peserta dari Kuching, Padawan, Bau, Samarahan termasuk dari Kuala Lumpur dan Terengganu akan berentap mempamerkan skil mereka pada pertandingan itu nanti.

 “Pihak kelab ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada YB Datuk atas sokongan diberikan terhadap penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun lepas,” katanya.

 Beliau menambah Sarawak juga akan turut serta dalam Kejohanan Yoyo Malaysia 2017 yang akan diadakan pada April depan di Terengganu.

Advertisement