Anda di sini

Bekas wakil rakyat didakwa melibatkan kehilangan pistol, peluru dalam milikannya

Advertisement
 Sarapin (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan kehilangan sepucuk pistol dan sembilan butir peluru.
DIDAKWA: Sarapin (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan kehilangan sepucuk pistol dan sembilan butir peluru.

KOTA KINABALU: Seorang bekas wakil rakyat, didakwa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin, atas dua pertuduhan melibatkan kehilangan sepucuk pistol dan sembilan butir peluru.

Bagaimanapun, Sarapin Magana, 55, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus, untuk setiap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah menetapkan pada 27 Mac tahun ini sebagai pengurusan kes terhadap tertuduh, yang diwakili peguam Dominic Chew Ban Huat dan Luke Ressa Balang.

Tuduhan pertama, tertuduh sebagai individu yang diberikan kuasa memiliki sepucuk pistol jenis semi-auto, didapati kehilangan senjata berkenaan.

Kedua, pada hari dan di tempat sama, tertuduh sekali lagi kehilangan sembilan butir peluru.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 April tahun lalu jam 6.30 pagi, di tepi jalan dekat Plaza 333, di lebuh raya Penampang.

Setiap pertuduhan itu, Sarapin didakwa mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM1,000, atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Robert Pasang Alam mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin sebanyak RM5,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan, bagi kedua-dua kes.

Beliau juga meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, sementara menunggu kes selesai.

Dominic memohon jumlah ikat jamin terbabit dikurangkan kerana anak guamnya kini tidak mempunyai pendapatan tetap.

Jumlah ikat jamin yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwaraya sangat tinggi. Kami mohon dikurangkan antara RM500 hingga RM1,000 untuk setiap pertuduhan,” katanya.

Menurutnya, penahanan pasport tertuduh tidak perlu kerana tertuduh seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong.

Cindy membenarkan tertuduh diberikan ikat jamin, setiap pertuduhan sebanyak RM2,000 deposit RM1,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Robert turut dibantu oleh Timbalan Pendakwaraya Nartiah F. Mirchelle Sambatan.

Advertisement