Anda di sini

Acara ikonik bakal gegar Samarahan

Advertisement

Cabaran Berbasikal Samarahan 2017 pembuka tirai kalendar sukan berbasikal Sarawak pada 18-19 Mac

 Karim (belakang, tengah), Zulaihi (dua kiri) dan Aini (tiga kiri) bergambar kenangan bersama pelumba dan tetamu lain selepas sidang media.
SEDIA GEGAR: Karim (belakang, tengah), Zulaihi (dua kiri) dan Aini (tiga kiri) bergambar kenangan bersama pelumba dan tetamu lain selepas sidang media.

KUCHING: Acara ikonik Cabaran Berbasikal Samarahan 2017 (SBC17) menjadi pembuka tirai kalendar sukan berbasikal Sarawak yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Mac bertempat di hadapan Pusat Beli-Belah Summer Mall, Kota Samarahan.

 Edisi keempat cabaran itu anjuran bersama DTTG Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan dan Persatuan Berbasikal Sarawak serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

 Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, perlumbaan bertemakan ‘The Road Warrior’ itu akan mempertandingkan lima kategori.

 “Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan iaitu Elit ‘The Road Warrior’ Lelaki Kriterium (42km), Veteran ‘Allstar’ Kriterium (36km), Tertutup Sarawak Kriterium (42km), Remaja Lelaki Kriterium (30km) dan Wanita Kriterium (30km).

 “Jumlah hadiah keseluruhan yang ditawarkan ialah sebanyak RM11,000. Hadiah- hadiah akan diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga ke-10 bagi kategori elit dan Terbuka Sarawak, manakala bagi kategori remaja, veteran dan wanita, hadiah akan diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga kelima.

 “Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia termasuk dari luar negara dengan sasaran seramai 200 pelumba,” Karim berkata pada sidang media di pejabat beliau di Wisma Sultan Tengah semalam.

 Jelasnya, setakat ini sebanyak 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan terdiri daripada pelbagai kelab berbasikal di seluruh negeri termasuk dari Indonesia, Terengganu dan Kuala Lumpur.

 Turut mengesahkan penyertaan pemenang perak Sukan Komanwel 1998, Nor Affendi Rosli dan beberapa pelumba kebangsaan dari Indonesia.

 “Kita memohon bantuan daripada Persatuan Berbasikal Sarawak untuk memastikan perlumbaan ini mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

 Penyertaan masih dibuka dengan yuran berjumlah RM60 bagi setiap peserta dan tarikh tutup pendaftaran pada 16 Mac ini.

 Menurut Abdul Karim lagi, bagi memeriahkan lagi cabaran tersebut, penganjur turut mengadakan Larian SBC17 pada 18 Mac melibatkan tiga kategori iaitu 5km, 8km Terbuka Lelaki dan 8km Terbuka Wanita.

 “Selain itu, kita juga akan menganjurkan pameran melibatkan beberapa agensi kerajaan bertujuan memaklumkan kepada masyarakat khususnya warga di Samarahan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan terbabit.

 “Program lain yang juga akan diadakan termasuk Explorace Gerakan Pengguna Bahagian Samarahan, pertandingan mewarna, pertandingan ‘megathon’, bengkel seni mempertahankan diri ‘capoeira’ dan pertandingan pingpong,” katanya.

 Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Wahab dan Setiausaha Persatuan Berbasikal Sarawak Zulaihi Seri.

  • oleh
  • Advertisement