Anda di sini

Selain menyelamat, APM turut melatih komuniti berdepan kecemasan

Advertisement
 Razaili dan Azwani (dua kiri) dan Azamsah (empat kanan) bergambar bersama wakil agensi yang telah bersama menyokong program tersebut.
TANDA SOKONGAN: Razaili dan Azwani (dua kiri) dan Azamsah (empat kanan) bergambar bersama wakil agensi yang telah bersama menyokong program tersebut.

SUKARELAWAN Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlatih berkemampuan membantu dalam pelbagai situasi ketika berlakunya bencana serta berkeupayaan memberi latihan kepada orang awam ketika berlakunya kecemasan.

Wakil Pengarah APM Negeri Sarawak, Mejar (PA) Mohammad Azwani Kusnin memberitahu, tugas APM bukan hanya terhad untuk membantu menyelamat nyawa dan harta benda penduduk ketika berlakunya bencana sahaja tetapi merangkumi skop yang lebih luas dalam memastikan setiap komuniti turut serta ketika berlakunya bencana.

“Kemampuan anggota sukarelawan APM yang dilatih untuk mendalami ilmu dan kemahiran menyelamat, saya yakin mereka dapat membentuk sebuah komuniti yang peka dengan keadaan sekeliling serta berkemampuan memberi respons terhadap sebarang bencana dan kecemasan dengan lebih cepat dan efi sien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program APM Negeri Sarawak Bersama Masyarakat dan Kursus Asas APM serta Pengurusan Pusat Pemindahan Bencana di Dewan Masyarakat Kampung Beladin, baru-baru ini.

Tambahnya, penglibatan APM dan kesiapsiagaan masyarakat umum untuk mempelajari ilmu menyelamat merupakan elemen penting dalam menyediakan rakyat untuk memiliki ilmu, kemahiran dan peka terhadap sebarang bencana.

“Bagi memantapkan pengurusan bencana lebih bersiap siaga, APM Negeri Sarawak bercadang untuk melantik dalam kalangan wakil rakyat, ketua pentadbiran di daerah dan bahagian serta ketuaketua komuniti sebagai Pegawai Bersekutu APM.

“Ini adalah langkah paling berkesan dalam memantap dan membolehkan pengurusan bencana yang lebih cekap dalam komuniti terbabit,” jelasnya.

Tegas Azwani, APM yang telah dilantik sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana Negara mulai 1 Oktober 2015 juga berperanan untuk meningkatkan kesiapsiagaan komuniti.

 Razaili dan rombongan diberikan penerangan oleh Unit Drone APM.
BERFUNGSI: Razaili dan rombongan diberikan penerangan oleh Unit Drone APM.

Sementara itu seramai 60 anggota sukarelawan dari sekitar daerah Pusa menyertai Kursus Asas APM serta Pengurusan Pusat Pemindahan Bencana selama dua hari yang memberi pengenalan kepada latihan asas dan kemahiran yang tinggi dalam menjalankan tugas sebagai anggota sukarelawan APM khasnya dalam tugas-tugas operasi dan menyelamat.

Mereka turut didedahkan dengan penglibatan dan hubungan dengan agensi lain yang melibatkan siri penerangan daripada agensi-agensi seperti APM Daerah Betong, Ibu Pejabat Polis (IPD) Betong, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Betong serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong mengenai peranan dan tugas dalam pengurusan di pusat pemindahan bencana.

Lebih menarik peserta turut diberi tunjuk ajar dan simulasi di Pusat Pemindahan Bencana bagi memberi gambaran sebenar bagaimana sesebuah pusat pemindahan dikendalikan oleh pihak APM.

Pada masa sama diadakan juga pertunjukan dan penjelasan berhubung Unit Drone APM Negeri Sarawak yang diketuai oleh Kapten Bersekutu Winston.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor.

Turut hadir ialah Pegawai APM Daerah Betong Azamsah Apearal, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Pusa Awang Mohamad Shukri Awang Arsad, Pemanca Daerah Pusa Suut Salleh, Penghulu Kampung Beladin Abu Talip Morsidi serta wakil-wakil Jabatan.

 Razaili dan Azwani merakam gambar bersama anggota sukarelawan yang telah berjaya menamatkan kursus pada majlis penutupan Program APM Negeri Sarawak Bersama Masyarakat dan Kursus Asas APM serta Pengurusan Pusat Pemindahan Bencana dekat Dewan Masyarakat Kampung Beladin, baru-baru ini.
UNTUK ALBUM: Razaili dan Azwani merakam gambar bersama anggota sukarelawan yang telah berjaya menamatkan kursus pada majlis penutupan Program APM Negeri Sarawak Bersama Masyarakat dan Kursus Asas APM serta Pengurusan Pusat Pemindahan Bencana dekat Dewan Masyarakat Kampung Beladin, baru-baru ini.
  • oleh
  • Advertisement