Anda di sini

Dalat lokasi projek perintis program latihan bergerak SG Academy Sarawak

Advertisement
 Ganesh (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sambil disaksikan Watson (kanan), Pembantu Pengurus Pusat SG Academy Sarawak Novert Sullang (tiga kiri) serta yang lain semasa kunjungan.
PENGHARGAAN: Ganesh (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sambil disaksikan Watson (kanan), Pembantu Pengurus Pusat SG Academy Sarawak Novert Sullang (tiga kiri) serta yang lain semasa kunjungan.

KUCHING: Dalat dipilih sebagai lokasi projek perintis bagi program latihan bergerak anjuran SG Academy Sarawak dalam usaha memperkasakan kemahiran di kalangan belia dan wanita, khasnya ibu tunggal.

Pengerusi SG Education Group Datuk Seri Ganes berkata program berkenaan adalah latihan kompetitif yang memberi impak segera kepada para peserta.

“Tujuan program kami adalah memberi fokus kepada golongan wanita terutama ibu tunggal yang tidak mempunyai kemahiran.

“Dalam projek perintis ini kami akan mengenal pasti wanita atau belia berkaitan yang mungkin boleh disesuaikan dengan kemahiran seperti kulinari atau pastri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan terhadap Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Ganesh berkata program latihan berkenaan adalah penyelesaian jangka pendek kepada peserta bagi membolehkan golongan sasaran menjana pendapatan melalui kemahiran yang mereka perolehi.

Tambahan katanya, program latihan selama lima hari itu adalah sangat intensif dan lebih praktikal, bagi membantu peserta dengan segera serta berkesan.

“Ini adalah langkah baharu kepada kami dalam menyediakan latihan kepada golongan sasaran terutama di luar bandar. Semua kos ditanggung SG Academy yang disokong kerajaan.

“Program ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dan berharap dapat mencapai sasaran membantu meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata institusi itu turut membantu golongan bekas atlet negeri dan negara yang mahu meningkatkan diri mereka melalui kemahiran dan di Sarawak bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek dilantik sebagai duta SG Academy Sarawak.

Katanya institusi itu telah bertapak di Semenanjung Malaysia sejak 16 tahun lalu dan mengembangkan khidmat mereka ke Sarawak untuk memberi peluang kepada belia Sarawak dalam kemahiran ditawarkan mereka.

Sementara itu Fatimah turut melahirkan penghargaan kepada pihak SG Academy kerana memilih Dalat sebagai lokasi projek perintis mereka.

“Terima kasih kepada SG Education Group kerana memilih Dalat sebagai projek perintis.

“Ini kerana di Dalat industri utama adalah pengeluaran sagu dan dulu berkaitan dengan perkayuan sahaja selain daripada pertanian berskala kecil,” tegasnya.

Maka itu dengan menyediakan perkhidmatan latihan bergerak itu, ia pasti memberi manfaat kepada penduduknya dalam menjana pendapatan melalui kemahiran oleh SG Academy.

Advertisement