Anda di sini

Tiga individu hilang dalam hutan dijumpai selamat

Advertisement
 Ketiga-tiga mangsa (dari kanan) Singal, Stayreon dan Veronica ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan SAR setelah sesat dalam kawasan hutan belukar.
DIJUMPAI SELAMAT: Ketiga-tiga mangsa (dari kanan) Singal, Stayreon dan Veronica ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan SAR setelah sesat dalam kawasan hutan belukar.

BINTULU: Tiga individu dipercayai hilang ketika turun mencari sayuran hutan di Rumah Semengat, Jalan Sangan-Tatau di sini dijumpai selamat.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa dalam keadaan selamat sekitar jam 9.16 pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, ketiga-tiga mangsa sesat kira-kira 21 jam di kawasan belukar, ditemui dalam keadaan selamat dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tatau bagi pemeriksaan kesihatan.

Mangsa dikenali Singal Ujeh, 55, Stayreon Ulik Gawan, 13, dan Veronica Chermy Limas, 9, berasal dari Rumah Nigroi, Hulu Anap Tatau ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir mereka dilihat dan mujur ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, bomba bergegas ke lokasi kejadian menjalankan kerja-kerja pencarian dan menyelamat mangsa sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin (Ahad), ketiga-tiga mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan itu mencari sayur-sayuran hutan di kawasan belukar berdekatan dan tidak pulang ke rumah meskipun menjelang senja.

Bimbang dengan keselamatan mereka, ahli keluarga membuat laporan polis bagi membantu mencari ketiga-tiga mangsa kerana bimbang kejadian tidak diingini menimpa mereka.

Belum dapat dipastikan punca sebenar menyebabkan mereka tersesat kerana ketiga-tiga mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Advertisement