Anda di sini

Penerima BR1M tanpa akaun menurun

Advertisement

4,744 penerima tanpa akaun terima baucar tahun ini, berbanding 30,123 pada 2012

 Wong (dua kiri) menyampaikan baucar BR1M kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Yusuf (kiri) dan Nizam (kanan) di Sibu semalam.
UNTUK RAKYAT: Wong (dua kiri) menyampaikan baucar BR1M kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Yusuf (kiri) dan Nizam (kanan) di Sibu semalam.

SIBU: Jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tanpa akaun atau penerima melalui baucar di daerah Sibu mencatat penurunan.

Pejabat Daerah Sibu merekodkan seramai 4,744 penerima tanpa akaun bank menerima baucar BR1M tahun ini, berbanding pengagihan pertama kali pada 2012 seramai 30,123 penerima baucar.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata penurunan bilangan penerima BR1M tanpa akaun menunjukkan kesedaran sebilangan besar penerima memberi nombor akaun bank dalam borang permohonan.

Jelasnya, dengan meletakkan nombor akaun bank dalam borang permohonan, wang BR1M dapat dimasukkan terus ke akaun penerima dan penerima tidak perlu menunggu baucar dihantar kepada mereka.

Pada 2014 apabila kerajaan mula melaksanakan bayaran BR1M melalui akaun bank penerima, bilangan penerima baucar BR1M tanpa akaun bank menurun kepada 12,283 orang penerima.

Berbeza tahun sebelumnya (2013), sebanyak 63,050 baucar diagihkan kepada penerima,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Baucar BR1M Daerah Sibu 2017 di Dewan Suarah Sibu di sini, semalam.

Beliau menyampaikan baucar BR1M kepada 201 penerima bagi kawasan Parlimen Sibu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan DUN Pelawan.

Bagi 2015, penerima baucar BR1M tanpa akaun seramai 8,115 orang dan terus berlaku penurunan pada 2016 iaitu seramai 4,922 orang penerima.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata, pemberian BR1M ini menunjukkan kerajaan amat mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan pengagihan BR1M adalah salah satu cara kerajaan membantu rakyat meringankan bebanan kos sara hidup bukannya mempunyai agenda tersembunyi.

Kerajaan meneruskan pemberian BR1M bagi 2017 kerana bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat memberi bantuan kewangan.

Bukan niat mempunyai agenda lain seperti dihebohkan sesetengah pihak untuk meraih undi,” katanya.

Seorang pesara tentera, Abizar Sahak, 61, yang kehilangan kaki kanannya pada tahun lalu akibat kencing manis berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan BR1M diterimanya.

Katanya dengan bantuan BR1M tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban beliau menanggung kos perubatan penyakit kencing manis dialaminya.

Selain membeli ubat-ubatan, baki wang ini boleh saya gunakan membeli keperluan dapur untuk keluarga,” kata Abizar yang menerima BR1M buat kali keenam.

Pada sebelah petang, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapa’ee turut menyampaikan baucar BR1M kepada 114 penerima bagi kawasan Parlimen Sibu dan DUN Nangka.

Hadir sama Awang Mohammad Nizam Awang Ali Bohan mewakili Residen Bahagian Sibu dan Pegawai Daerah Sibu Awang Yusuf Awang Mostapha.

  • oleh
  • Advertisement