Anda di sini

Lelaki rentung di dalam kereta terbakar

Advertisement
 Mangsa dijumpai rentung di tempat duduk belakang pemandu.
RENTUNG: Mangsa dijumpai rentung di tempat duduk belakang pemandu.

MIRI: Seorang lelaki rentung setelah kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan kendiri sebelum terbakar awal pagi semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.50 pagi berhampiran sebuah rumah di Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini.

Menurut Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri Law Poh Kiong, identiti mayat terbabit masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri diketuai Pegawai Kanan Bomba II (PBKII) Thomas Bigau bersama sebuah jentera pemadam dan sebuah kenderaan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.52 pagi.

Setiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah kereta terbakar 100 peratus dan kerja-kerja pemadaman terus dilakukan menggunakan satu aliran saluran bantu mula.

Semasa kerja-kerja pemadaman dilakukan, anggota bomba menjumpai satu objek menyerupai manusia rentung di tempat duduk belakang pemandu.

Setelah dikeluarkan, mayat terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah api marak dapat dipadamkan dalam beberapa minit sebelum operasi tamat jam 2.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat berkata setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum kejadian, kenderaan terbabit mengalami kemalangan kendiri setelah terbabas dan tersangkut pada longkang sebelum terbakar.

Mangsa dipercayai seorang lelaki rentung menyebabkan proses mengenal pastinya sukar dilakukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Khoo menggesa orang awam yang mengenali mangsa terutama ahli keluarga tampil membuat pengecaman mayat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri sekitar jam 4.30 pagi untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, polis melakukan ujian DNA ke atas seorang lelaki mengaku sebagai abang kepada mangsa.

Advertisement