Anda di sini

Mayat tanpa identiti ditemui berhampiran Pulai Lakei

Advertisement
 Pasukan APMM membawa mayat itu ke KOMTAS sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
TINDAKAN: Pasukan APMM membawa mayat itu ke KOMTAS sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

KUCHING: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terapung berhampiran Pulau Lakei, lebih kurang 0.4 batu nautika dari Tanjung Po, dekat sini.

 Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar jam 1.47 petang semalam dalam operasi mencari mayat yang diaktifkan setelah menerima laporan dari penduduk Kampung Senari.

 Sufian Junaidi berkata, dia bersama empat orang rakan sedang memancing di kawasan sungai berhampiran limbungan sebuah syarikat di Kampung Goebilt kira-kira jam 10.30 malam apabila ternampak objek menyerupai mayat manusia.

 Mayat dipercayai lelaki itu dikatakan sedang hanyut ke arah laut berhampiran tempat lima sekawan tersebut memancing.

 Memandangkan keadaan gelap, mayat berkenaan bagaimanapun hilang dari pandangan dan dia terus membuat laporan polis pada malam tersebut.

 Bertindak atas laporan, sebuah bot APMM dan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat digerakkan seawal jam 7 pagi sebelum menemui mayat berkenaan pada jam 1.47 petang.

 Mayat tersebut dibawa menggunakan bot APMM ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) sebelum diserahkan kepada polis.

 Polis menghantar mayat tersebut ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Advertisement