Anda di sini

Sarawak mampu pertahan gelaran

Advertisement
 Manyin menyampaikan trofi kepada Joseph sambil disaksikan Wee (kiri) di Kuching.
TAHNIAH: Manyin menyampaikan trofi kepada Joseph sambil disaksikan Wee (kiri) di Kuching.

Atlet-atlet bina badan di landasan terbaik kekalkan kejuaraan Mr Malaysia 2017: Manyin

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Michael Manyin Jawong yakin atlet-atlet bina badan Sarawak berada di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan pada kejohanan Mr Malaysia 2017 yang akan diadakan di Kuala Lumpur Mei depan.

 Bagaimanapun, beliau berharap semua atlet bina badan Sarawak mampu mengatasi halangan psikologi bagi memastikan misi menjadi juara kali keempat berturutturut menjadi realiti.

 “Ini hanya cabaran dalam minda.

 Jika kamu berfikir kamu menjadi juara… kamu akan menjadi juara.

 Jika kamu berfikir kamu tidak dapat menjadi juara…kamu tidak akan menjadi juara.

 Ia motivasi asas.

 “Saya melahirkan rasa bangga dengan atlet-atlet bina badan Sarawak kerana berusaha gigih untuk memastikan Sarawak menjadi juara Mr Malaysia selama tiga tahun berturut-turut sejak 2014.

 “Saya percaya dengan pengalaman selama tiga tahun dan tiga tahun kejayaan, kita akan menjadi juara pada tahun ini.

 Sarawak akan menjadi juara.

 Ia menjadi slogan kita dan akan menjadi realiti,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Mr Kuching 2017 di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka di sini semalam.

 Menurut Manyin, Persatuan Bina Badan Sarawak (SBA) dan atlet-atlet bina badan Sarawak juga wajar mendapat pengiktirafan dengan pengorbanan dan kejayaan yang disumbang kepada negeri selama ini.

 Sehubungan itu, beliau mengumumkan bantuan peribadi berjumlah RM30,000 termasuk peruntukan tambahan berjumlah RM15,000 daripada Kementerin Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS) untuk membantu SBA melaksanakan pelbagai aktiviti.

 “Selepas menerima kunjungan daripada SBA, saya difahamkan persatuan itu memerlukan banyak bantuan terutamanya bantuan kewangan.

 Ini kerana untuk memastikan badan kekal cantik atlet-atlet memerlukan banyak ‘supplement’.

 “Kementerian saya akan melihat ke arah itu dan mengemukakan permohonan SBA ke peringkat atasan,” katanya.

 Terdahulu itu, Presiden SBA Datuk Wee Hong Seng dalam ucapannya menyambut baik sokongan Manyin terhadap aktiviti persatuan tersebut.

 Katanya, sokongan dalam bentuk kewangan sangat penting untuk membantu SBA menggerakkan semua aktiviti yang dirancang agar dapat melahirkan lebih ramai jaguh bina badan di negeri ini.

 Sementara itu, Joseph Ladi dinobatkan Juara Antara Juara Mr Kuching 2017 selepas menjuarai kategori Bantam Weight (60.1kg-65kg).

 Kategori Master (45 tahun ke atas) diungguli atlet veteran, Zulazman Mohamad Bujang.

 Pemenang lain ialah Wilfred Harding Jiee (Light Weight 65.1kg- 70kg), Lansconnery Ripit (Welter Weight 70.1kg-75kg), Mohamad Sani Sanawi (Light Midde Weight 75.1kg-80kg) , Huang Chee Yan (Middle Weight 80.1kg-85kg) dan Donny Fam (Heavy Weight 90.1kg ke atas).

  • oleh
  • Advertisement