Anda di sini

Lonjak usahawan belia

Advertisement
 Abang Johari berbual sesuatu dengan pempamer semasa mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena SCaT Fair 2017 di BCCK, semalam. Turut kelihatan Juma’ani (kiri), Masing (empat kanan) serta tetamu jemputan lain.
TERTARIK: Abang Johari berbual sesuatu dengan pempamer semasa mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena SCaT Fair 2017 di BCCK, semalam. Turut kelihatan Juma’ani (kiri), Masing (empat kanan) serta tetamu jemputan lain.

  Sarawak akan bina inkubator di Samajaya, platform belia perkembang perniagaan: KM

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai sebuah inkubator di Taman Perindustrian Samajaya di sini sebagai platform untuk usahawan belia khasnya memperkembangkan perniagaan mereka.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mengumumkan perkara itu berkata, pusat bernilai RM30 juta itu akan dikendalikan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS).

Saya dengan ini memberi peruntukan RM30 juta kepada TEGAS supaya mereka boleh membina inkubator sebagai kemudahan kepada belia Sarawak khasnya berhubung dengan rakan perniagaan mereka.

Kita mahu TEGAS menyediakan dalam 50 bilik (kubikal) di pusat ini yang terbuka kepada semua sektor ekonomi atau mereka yang baharu berjinak-jinak dalam perniagaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) 2017 yang dihadiri isterinya, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, TEGAS akan bertanggungjawab mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk diketengah di inkubator berkenaan.

Ia akan dilaksana dalam masa terdekat dan diharap bangunan berkenaan nanti berfungsi dengan sewajarnya memenuhi keperluan penggunaannya termasuk kemudahan Internet.

Saya mahu syarikat telekomunikasi (telco) menyediakan kelajuan Internet di antara 150 megabit sesaat dan 300 megabit sesaat dalam pusat berkenaan,” tegasnya.

Namun demikian, kata Abang Johari, belia juga perlu kreatif dalam perniagaan mereka yang boleh diketengahkan kepada dunia luar melalui jaringan Internet.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan kerajaan negeri kini dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dianggarkan melibatkan kos RM2 bilion.

Saya bersama rakan di kabinet mahu mempertingkatkan lagi keluasan jalur lebar termasuk luar bandar sebagai usaha kita mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi digital.

Ia memakan kos RM2 bilion dan kita memohon kepada kerajaan persekutuan melalui konsep ‘1 to 1’, di mana kerajaan negeri peruntukan RM1 bilion dan begitu juga kerajaan pusat,” jelas beliau.

Bagaimanapun, perkara itu akan dijelaskan dengan lebih lanjut selepas penganjuran Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur, ICT Antarabangsa, Sarawak (IDECS).

Katanya, ini kerana Sarawak memerlukan nasihat daripada pakar dalam digital selain input daripada IDECS mengenai pendekatan terbaik digunakan Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement