Anda di sini

Penyokong dan anggota PAS terus berkumpul sokong Hadi

Advertisement
 Kira-kira 50 anggota PAS kawasan Kepala Batas berhimpun bagi mengecam parti DAP dan menyokong Presiden PAS memutuskan hubungan dengan parti itu, selepas mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, semalam. — Gambar Bernama
BERHIMPUN: Kira-kira 50 anggota PAS kawasan Kepala Batas berhimpun bagi mengecam parti DAP dan menyokong Presiden PAS memutuskan hubungan dengan parti itu, selepas mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, semalam. — Gambar Bernama

KEPALA BATAS: Sekumpulan anggota dan penyokong PAS semalam berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada ketegasan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Wakil kumpulan itu, Azmi Man yang juga anggota PAS Kepala Batas berkata, Abdul Hadi membuat keputusan rasional bagi memastikan PAS tidak terus diperkotak-katikkan oleh DAP dan sekutunya.

“Kami hari ini (semalam) berhimpun bagi menunjukkan sokongan berhubung kenyataan Presiden PAS tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti yang mempunyai hubungan dengan DAP kerana mereka dilihat cuba mencampuri urusan orang Islam terutamanya berhubung isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU 355).

“Kami juga mahu DAP berhenti mengganggu agama Islam kerana rang undang-undang itu tidak membabitkan orang bukan Islam sebaliknya hanya melibatkan orang Islam,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau bersama lebih 50 penyokong dan anggota PAS berhimpun secara aman di hadapan Masjid Jamiul Badawi di sini selepas solat Jumaat. Kumpulan itu turut membawa pelbagai sepanduk mengecam DAP dalam demonstrasi yang berlangsung kira-kira 10 minit itu.

Azmi berkata pihaknya terutama di akar umbi juga berharap PAS tidak akan mengadakan hubungan dengan parti-parti yang mempunyai kaitan dengan DAP termasuk Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kami amat sedih jika ada dalam kalangan pimpinan PAS membiarkan presiden parti diserang oleh DAP dan PAN tanpa dibela dan kami ingin tegaskan yang anggota parti bersedia dengan apa jua rintangan demi kelangsungan parti,” katanya. — Bernama

Advertisement