Anda di sini

Pemandu maut, kereta hilang kawalan, terbabas, rempuh tiang

Advertisement
 Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan semalam.
REMUK: Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan semalam.

KUCHING: Sebuah kereta yang dilihat tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang lampu jalan serta beberapa pasu bunga menyebabkan pemandunya terbunuh akibat kecederaan parah semalam.

Menurut saksi, kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Rock di sini apabila mangsa, Thain Kim Leong @ Deng Jin Long dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Flat RPR Jalan Arang sekitar jam 3 pagi.

“Semasa kejadian, kelihatan kereta tersebut hilang kawalan menyebabkan ia terbabas ke pembahagi jalan dan merempuh beberapa pasu bunga sebelum berpusing beberapa kali dan melanggar tiang lampu jalan.

“Mangsa semasa kejadian dari arah Wisma Saberkas menuju ke arah Batu Tiga,” kata saksi yang ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

“Kemalangan kendiri itu mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian pemandu dan sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang turut hadir di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis,” kata Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Sarawak Tiong Ling Hii dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, seramai 10 anggota termasuk tiga anggota EMRS diketuai Pegawai Bomba Arisa Arshad dari Balai Bomba Batu Lintang hadir di lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian.

“Laporan diterima pada jam 3.16 pagi, di mana jentera tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian dan operasi tamat pada jam 4.33 pagi,” kata Tiong lagi.

Anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan dan mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement