Anda di sini

Pemandu lori didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

Advertisement

KUANTAN: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap tujuh pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen, tahun lalu.

Maswan Hussain, 34, yang berasal dari Felda Selendang 1, Rompin dekat sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan pinjaman kepada lima individu berbeza dengan jumlah RM2,000 setiap seorang antara 24 Okt hingga 15 Dis tahun lalu di sekitar Rompin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim menawarkan jaminan sebanyak RM120,000 bagi semua pertuduhan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jasa baik mahkamah mengurangkan jumlah itu atas alasan pendapatannya hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Dengan gaji itu saya perlu menanggung emak yang sudah tua, seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil,” katanya.

Siti Aminah menetapkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 5 April ini. — Bernama

Advertisement