Anda di sini

Rasuah: Pegawai TLDM dipenjara lapan bulan, denda RM80,000

Advertisement

IPOH: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipenjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan lebih RM90,000, tiga tahun lalu.

Terdahulu, Kapten Abdul Aziz Gaffor, 56, yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut menukar pengakuan kepada bersalah atas kesemua tuduhan ke atasnya.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan harta milik Abdul Aziz bernilai kira-kira RM300,000 dilucutkan hak.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula semalam dan akan dipenjara 10 bulan lagi jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Lelaki itu didakwa menerima barang berharga tanpa balasan iaitu seutas jam tangan jenama Rolex bernilai RM57,071 pada Mac 2014 dan telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145 pada Disember 2014 daripada Hussin Roslim @ Roslind yang tertuduh mengetahui bahawa syarikat-syarikat milik Hussin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Desa Manjung Raya, Manjung.

Abdul Aziz didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol dan Abdul Rashid Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Collin Andrew dan Fadly Hashim.

Terdahulu peguam tertuduh, Zamri, meminta mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara dan hanya mengenakan denda kepada tertuduh.

Tertuduh telah hilang pencen dan gratuiti untuk apa yang beliau kerja dan usaha sejak 1979 bernilai hampir RM1 juta dan ini secara langsung telah menjimatkan kos kerajaan Malaysia.

Mahkamah juga perlu mengambil kira faktor malu yang dihadapi tertuduh sejak hari pertama sehingga hari ini akan berterusan kerana kes membabitkan tangkapan tertuduh mendapat liputan besar media,” katanya.

Bagaimanapun, Norzilati berhujah pihak pembelaan perlu tahu kesan dan akibat atas perbuatan yang dilakukan Abdul Aziz.

Terdahulu, pada 9 Sept 2015, Abdul Aziz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan itu. — Bernama

Advertisement