Anda di sini

Axiata Digital, Huawei meterai MoU promosi perkhidmatan IoT di Asia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh kumpulan telekomunikasi, Axiata Group Bhd, Axiata Digital dan Huawei semalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk sama-sama mempromosikan perkhidmatan Internet of Things (IoT) di Asia.

Kerjasama IoT antara Axiata dan Huawei dijangka memberi manfaat kepada pelanggan Axiata di 10 negara di rantau ini, dimanfaatkan melalui perniagaan mudah alihnya dan portfolio perkhidmatan dalam talian.

Di bawah perjanjian itu, Huawei akan menyediakan teknologi IoT yang terkini dan aplikasi vertikal seperti ‘connected car’, rumah pintar dan meter pintar.

Axiata Digital, akan menyediakan platform yang mengupayakan aplikasi IoT berasaskan awan bagi membolehkan perkhidmatan digunakan dengan cepat dan berkesan, menurut Axiata dalam kenyataan kelmarin.

Melalui IoT, pelbagai produk seperti peranti pintar, kenderaan, rumah dan malah bandar dapat membantu mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan seperti penggunaan tenaga, yang akhirnya akan meningkatkan kehidupan.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama IoT, Axiata Digital dan Huawei akan sama-sama melancarkan perkhidmatan ‘connected car’ di beberapa negara dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Mohd Khairil Abdullah berkata IoT merupakan tonggak utama dalam bidang tumpuan pelaburan syarikat.

Kumpulan itu berharap untuk membawa perkhidmatan IoT kepada potensinya sepenuhnya melalui kerjasama dengan rakan-rakannya di semua pasarannya. — Bernama

Advertisement