Anda di sini

Taman Selera Harmoni berubah dengan bantuan kerajaan negeri

Advertisement

SIBU: Taman Selera Harmoni kini telah selesai dinaik taraf atas sumbangan kerajaan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Peniaga Taman Selera Harmoni Abdul Taib Rosli.

Jelasnya,  berkata, projek menelan belanja sebanyak kira-kira RM2 juta itu telah mengubah wajah Taman Selera Harmoni itu sendiri.

“Antaranya tempat letak kereta telah diperbanyak dan terdapat kemudahan tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU) serta keadaan gerai peniaga telah diperbesar.

“Selain itu, naik taraf kemudahannya seperti sinki yang disediakan sekali dengan penapis sisa pepejal, kerusi meja juga telah diselaraskan bagi kemudahan pengunjung dan banyak lagi naiktaraf yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, ahli jawatankuasa diketuainya juga bersatu hati menyuarakan pendapat dan kehendak dalam kepentingan Taman Selera Harmoni.

Dengan mempunyai suara kuat dalam jawatankuasa tersebut, Abdul Taib berkata, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) juga melulus beberapa permohonan daripada mereka seperti mewujudkan Bilik Gerakan Taman Selera Harmoni, menaik taraf surau untuk kemudahan pengunjung dan peniaga serta menambahkan bilangan lampu jalan di situ.

Sehubungan itu, jelasnya, Taman Selera Harmoni juga begitu dekat di hati Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee.

“Beliau sangat komited bersama membangun dan menambah baik insfrastruktur Taman Selera Harmoni kerana ia merupakan antara Medan Selera 100 peratus peniaga dalam kalangan Bumiputera Islam.

“Dalam mesyuarat kita baru-baru ini, Dr Annuar telah menyumbangkan beberapa projektor untuk dipasang dan diguna pakai di sini bagi menjadi daya tarikan baharu kepada pengunjung.

“Beliau juga turut bersetuju untuk menambah jumlah kipas siling bagi keselesaan pengunjung Taman Selera Harmoni,” katanya lagi.

Dengan itu, ujarnya, jawatankuasa dan peniaga di situ berasa sangat bertuah atas keterbukaan pihak MPS dan sokongan Dr Annuar.

Tambahnya, pihak jawatankuasa juga menolak dan membantah sekeras-kerasnya individu mahupun parti politik pembangkang berkepentingan peribadi memanipulasi mahupun mengambil kesempatan atas Taman Selera Harmoni baharu dinaik taraf.

Advertisement