Anda di sini

Kos pengangkutan ke pedalaman tinggi punca kenaikan harga LPG

Advertisement

KUCHING: Kos penghantaran pengangkutan tinggi ditanggung peruncit atau pemborong gas petroleum cecair (LPG) ke kawasan luar bandar antara sebab harga agak tinggi berbanding bandar.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak Abd Hafidz Abd Rahim berkata, peruncit dan pemborong di Sarawak berbeza Semenanjung kerana mereka perlu menanggung kos tinggi bagi tujuan penghantaran.

“Di Sabah dan Sarawak kita dikecuali daripada menguat kuasa harga LPG dikawal bagi luar bandar berbanding di Semenanjung.

“Kita akui harga LPG di luar bandar agak tinggi disebabkan ini kerana mereka perlu menanggung kos pengangkutan agak tinggi, kita memahami perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Abd Hafidz juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK berkata, jika kerajaan mahupun kementerian menetapkan harga kawalan LPG ke luar bandar ia pasti akan menjejaskan dari segi bekalan ke kawasan itu.

Katanya ia dikhuatiri tidak ada peruncit atau pemborong mahu membuat penghantaran bekalan disebabkan aspek kos tinggi yang ditanggung mereka nanti.

“Bagi kerajaan, ia diserah kepada perunci dan pemborong LPG di negeri ini kerana sekurang-kurangya ada syarikat yang mahu membekal LPG ke luar bandar,” katanya.

Beliau memberitahu tambahan pusat pembotolan LPG bagi pembekal utama di negeri ini iaitu Petronas dan My.Gas hanya terletak di Senari di Kuching dan Bintulu.

Katanya, dengan jarak pusat pembotolan jauh pastinya akan memberi impak dari segi kos penghantaran itu terutama ke bahagian lain di negeri ini.

“Namun bagi kawasan sangat jauh di pedalaman baharulah kerajaan menggunakan pendekatan penyeragaman harga lama kita laksana bagi mengelak harga terlalu tinggi.

“Penyeragaman itu melibat kawasan pedalaman seperti Bario sangat jauh dan jika harga tidak disubsidi kerajaan, harga LPG ke kawasan itu boleh mencapai lebih RM200 per tong,” tegasnya.

Bagaimanapun menyedari bebanan rakyat di kawasan pedalaman kerajaan menggunakan pendekatan subsidi dengan menyeragam harga di kawasan jauh.

Mengulas mengenai bekalan LPG, Abd Hafidz berkata setakat ini Sarawak tidak mengalami sebarang masalah dari segi bekalan tidak mencukupi kerana stok masih banyak.

Advertisement