Anda di sini

Philippine Airlines sambung semula penerbangan harian Manila-KL Jun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Philippine Airlines akan menyambung semula penerbangan harian antara Manila dan Kuala Lumpur mulai Jun depan selepas membuat penangguhan selama tiga tahun, dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus faktor beban dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Naib Presiden Kanan bagi Kumpulan Komersil David A. Lim, berkata penyambungan semula penerbangan antara kedua-dua ibu negara itu adalah seiring dengan pemodenan serta pengembangan laluan syarikat penerbangan terbabit.

Kami bukan sahaja mahu ‘menjual’ Manila kepada pelancong Malaysia malah Filipina secara keseluruhan termasuk laluan yang merangkumi Amerika dan Oceania,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan laluan Manila-Kuala Lumpur kelmarin.

Turut hadir ialah Naib Presiden untuk Jualan Philippine Airlines Ryan T. Uy dan Presiden Pacific World Travel Sdn Bhd Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah.

Pacific World Travel merupakan ejen jualan umum bagi Philippine Airlines di Malaysia.

Kami telah berkembang kepada lapan destinasi baharu tahun ini dan kami akan memperluaskan lagi sehingga akhir tahun,” kata Lim.

Sekarang ini, Philippine Airlines memiliki 29 penerbangan domestik dan 44 destinasi antarabangsa termasuk Timur Tengah dan Eropah.

Katanya, pembukaan semula laluan ini disasarkan untuk mengambil peluang ke atas integrasi ekonomi ASEAN kerana ia akan menyediakan akses kepada peluang perniagaan yang baharu.

Lim menyatakan keyakinan bahawa syarikat penerbangan itu akan mendapat semula bahagian pasarannya di Malaysia kerana ia merancang untuk mengembangkan kerjasama perkongsian kodnya dengan Malaysia Airlines di laluan penerbangan domestik.

Syarikat penerbangan itu menangguhkan penerbangannya ke Kuala Lumpur dalam 2014 selepas setahun beroperasi, berpunca akibat faktor-faktor mikroekonomi, kata Uy.

Katanya, tahun 2013 adalah tahun yang mencabar bagi semua pihak disebabkan oleh harga minyak yang tinggi.

Itu adalah sebahagian daripada sebab-sebab mengapa kami menghentikan perkhidmatan tersebut. Kami percaya ini adalah masa yang terbaik untuk masuk semula, khususnya dengan ASEAN yang meraikan ulang tahun ke-50, bagi mengembangkan industri pelancongan kami, katanya. — Bernama

Advertisement