Anda di sini

Didenda RM4,000 atau penjara miliki minyak diesel haram

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM4,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zurani Ali Musa setelah Wong How Leng mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun.

Menurut keterangan kes, sekitar jam 12.30 pagi, 13 September 2013 di sebuah stesen minyak di Jalan Bintang, sepasukan anggota dari Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk tujuan pemeriksaan kerana dalam keadaan mencurigakan.

Ketika diperiksa, didapati sebuah tangki mengandungi minyak diesel sebanyak 1,000 liter yang merupakan barang kawalan berjadual di dalam kenderaan tersebut.

Pemilik kenderaan kemudian ditahan dan minyak diesel dirampas untuk dijadikan barang kes.

Kes kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan lanjut oleh pihak KPDNKK Miri mendapati tiada sebarang lesen runcit atau borong dikeluarkan atas nama tertuduh, justeru tertuduh didapati telah memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel tanpa sebarang lesen yang sah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Dominic Joseph Bakir dari KPDNKK Miri.

Advertisement