Anda di sini

Bintulu, FELDA, Jeonsa dan Kota Setar mara ke separuh akhir LBR Wanita

Advertisement

BINTULU: Skuad wanita Bintulu bersama tiga pasukan lain terdiri daripada FELDA, Jeonsa dan Kota Setar mara ke perlawanan separuh akhir selepas mengatasi lawan masing-masing pada peringkat suku akhir pertama dan kedua Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita pada 17 dan 19 Februari lalu.

 Skuad Bintulu merupakan juara LBR Wanita bagi Zon Borneo mewakili Borneo untuk bersaing di peringkat kebangsaan, namun rakan senegeri iaitu Sibu terkandas dalam perlawanan suku akhir.

 Bintulu, Sibu, Samarahan (Sarawak) dan Sekolah Sukan Sabah (Sabah) diletakkan dalam Kumpulan A untuk Zon Borneo dalam liga terbabit.

 Manakala, Kumpulan B pula terdiri daripada Batang Padang (Perak), Batu Gajah (Perak), FELDA dan Al Astana FC (Pahang); Kumpulan C Jeonsa (Selangor), Tanjung Malim (Perak) dan Sri Sador FC (Kelantan), diikuti Kumpulan D terdiri daripada Kota Setar (Kedah), Kerian (Perak) dan USM FC (Kelantan).

 Terdahulu dalam perlawanan suku akhir pertama dan kedua, Bintulu membenam Batang Padang 4-0 dan 5-0 di Stadium Mini BSN Bangi dan Stadium UPM Serdang.

 Perlawanan suku akhir kedua itu menyaksikan dua jaringan Bintulu pada babak pertama disumbangkan oleh Shamimi Karim minit ke-26 dan Siti Rohani Saptu minit ke-33.

 Diikuti dua gol lagi juga dijaringkan oleh Shamimi pada babak kedua minit ke-48 dan 53, manakala Siti Rohani turut beraksi cemerlang untuk melengkapkan jaringan kelima dengan menyumbang satu gol lagi pada minit ke-78.

 Sehingga masa penuh perlawanan kedudukan kekal memihak kepada Bintulu dengan jaringan 5-0.

 Kemenangan untuk suku akhir pertama dan kedua Bintulu itu akan melayakkan pasukan itu memasuki perlawanan separuh akhir dengan agregat 9-0.

 Sementara itu, skuad Sibu terpaksa akur perjuangannya terhenti setakat suku akhir apabila sekali lagi tewas 0-6 di tangan FELDA dalam perlawanan suku akhir kedua.

 Kemenangan itu melayakkan FELDA mara ke separuh akhir dengan agregat 9-0.

 USM FC dan Jeonsa pula terikat 0-0 tanpa jaringan namun Jeonsa layak mara hasil penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3 mengatasi USM FC.

 Selain itu, Sri Sador FC pula tewas 0-5 di tangan Kota Setar yang mana Kota Setar layak mara dengan agregat 9-0.

Advertisement