Anda di sini

Sarawak memerlukan kampung sukan

Advertisement

MIRI: Sarawak memerlukan kampung sukan untuk melatih lebih ramai atlet dalam pelbagai acara sekali gus membantu negeri ini melahirkan atlet-atlet profesional.

Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata Sarawak mempunyai ramai bakat yang berpotensi untuk digilap dan berupaya mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, permohonan kemudahan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan dan berharap dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sarawak amat memerlukan kampung sukan untuk kita menganjurkan pelbagai aktiviti sukan dalam skala lebih besar dan jimat kos.

Kampung Sukan ini mampu menempatkan antara 400 hingga 500 orang dan sudah tentu menjimatkan kos dari segi penginapan,” katanya berucap merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Bahagian Miri Ke-33 di Stadium Miri semalam.

Hadir sama pengerusi pengelola, James Nibong.

Selain kampung sukan, beliau berharap kemudahan sekolah sukan dapat ditambah untuk meningkatkan jumlah atlet yang bukan hanya handal dalam sukan malah cemerlang dalam akademik.

Katanya, ia akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sukan.

Sarawak merupakan pengeluar atlet-atlet berpotensi malah turut dilabelkan sebagai kuasa sukan negara, sebagai contoh kita sudah ada atlet terkemuka seperti Pandelela Rinong.

Sehubungan itu, lebih banyak sekolah sukan perlu diwujudkan bagi memastikan negara tidak ketandusan atlet,” katanya.

Sebanyak 45 sekolah rendah dari Bahagian Miri mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Sementara itu, pertandingan perbarisan lintas hormat dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau (juara), SK Agama Miri (naib juara) manakala SK Riam Batu 2 (ketiga).

Advertisement