Anda di sini

KRT berperanan sebagai jambatan kepada kerajaan

Advertisement

SIBU: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berperanan sebagai jambatan kepada kerajaan iaitu laluan penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradon Ding Kuong Hiing berkata beliau teringat sebelum Jambatan Durin dan Lanang dibina dahulu banyak kesulitan dihadapi rakyat untuk sampai ke Sibu.

“Saya masih ingat dahulu semasa hendak pergi ke Sibu, terpaksa menunggu feri agak lama di Sungai Durin.

“Tetapi kini, dengan adanya Jambatan Durin dan Jambatan Lanang kita tidak lagi perlu beratur panjang menunggu feri. Ini menunjukkan peranan jambatan itu sangat penting.

“Saya harap KRT boleh menjadi seperti jambatan iaitu penghubung antara rakyat dengan kerajaan,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan Majlis Ceria Warga Emas 2017 anjuran KRT Nibong Sibu di sini kelmarin.

Ding mewakili Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Hadir sama Penasihat KRT Nibong Sibu Dato Sri Dr Benny Lee, Pengerusi KRT Nibong Sibu Yong Chong King, Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang dan Pemangku Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sibu Zulkefli Mohamad Nazri.

Katanya, sekiranya KRT mempunyai masalah atau isu di kawasan, mereka boleh mengadu kepada pegawai perpaduan kawasan masing-masing dan pegawai perpaduan mengajukan masalah kepada pihak atasan.

“Saya berharap KRT menghadiri majlis ini boleh menjadi mata dan telinga kerajaan. Bagi tahu kepada kami jika ada apa-apa berlaku di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan RM12,000 kepada KRT Nibong Sibu dan RM10,000 daripada Dr Sim dan RM2,000 daripada beliau sendiri. Turut memberi sumbangan Michael Tiang (RM1,000).

Sementara itu, Dr Benny mengagumi komitmen diberikan Pengerusi KRT Nibong Sibu Yong Chong King menjalankan sebanyak 125 aktiviti dalam masa lima tahun.

“Saya sudah kira berapa banyak aktiviti mereka jalankan iaitu sebanyak 125 aktiviti. Ini bersamaan satu tahun ada 25 aktiviti, satu bulan ada dua aktiviti dan dalam dua minggu ada satu aktiviti.

“Untuk itu, saya mengucapkan syabas dan kita berikan tepukan gemuruh kepada beliau,” katanya sambil menambah, aktiviti  dijalankan oleh KRT Nibong Sibu melibatkan pelbagai kaum dan agama.

Sementara itu, Lee selaku penaja utama majlis itu memberi sumbangan sejumlah RM13,000 kepada KRT Nibong Sibu menjadikan jumlah keseluruhan RM26,000.

Majlis turut menyaksikan pengagihan angpau kepada warga emas berumur 65 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Advertisement