Anda di sini

‘Datuk Seri’ antara 22 anggota Geng 24 didakwa

Advertisement
 Sebahagian daripada 22 anggota kongsi gelap Geng 24 Pulau Pinang termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Sebahagian daripada 22 anggota kongsi gelap Geng 24 Pulau Pinang termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Seramai 22 anggota kongsi gelap, Geng 24 Pulau Pinang termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mereka ialah Teh Shee Chin, 31, Bee Hooi Siang, 44, Lee Ching Hock,44, Jeremy Chong Yee Fan, 34, Ng Chian Sia, 55, Mah Chen Seng, 46, Yong Kah Man, 26, Goh Chuan Shien, 36, Ng Ah Boey, 45, Yeoh Choon Hin, 37.

Selain itu, tertuduh lain ialah Teng Kok Haw, 26, Lim Leong Huat, 27, Chee Chia Heng, 29, Seng Wai Hon, 33, Teoh Jong Yow, 36 dan Yeoh Choon Hang,45,

Daripada jumlah itu, hanya Jeremy diwakili peguam Jason Khor, Ng Chian oleh Gobind Singh Deo, Mah oleh Tan Guat Chang, Yeoh Chuan oleh K. Magendrandan dan Yeoh Choon diwakili peguam M. Athimulan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua anggota terbabit didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’ di daerah Timur Laut sepanjang 1 Jan 2015 hingga 29 Jan lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Jailani Abdul Rahman tidak menawarkan ikat jamin kerana kes berkenaan termasuk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Gobind dan Jason memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan menfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah memberikan tempoh selama dua minggu.

Roslan kemudian membenarkan permohonan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes itu. — Bernama

Advertisement