Anda di sini

Kemenangan besar BN bukti rakyat mahu kesinambungan perjuangan Adenan

Advertisement

LUNDU: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu  membuktikan penduduk memilih kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Malah, Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kemenangan besar itu juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu di bawah Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Terima kasih kepada pengundi di Tanjong Datu yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada calon BN untuk terus mewakili penduduk di sini.

“Ini membuktikan penduduk Tanjong Datu memilih kesinambungan perjuangan Allahyarham Tok Nan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri selari dengan Manifesto BN ‘Bersama Kita Teruskan Perjuangan Tok Nan’,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Pada masa sama Fadillah memberitahu pemuda yakin Jamilah mampu meneruskan perjuangan Allahyarham Tok Nan terutama ke arah meningkatkan lagi taraf hidup dan sosio ekonomi penduduk luar bandar khususnya di Tanjong Datu.

“Terima kasih kepada seluruh Jentera BN, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota pasukan keselamatan, agensi-agensi kerajaan, RELA dan semua pihak yang membantu dalam memastikan kelancaran proses PRK Tanjong Datu,” ujar menteri kerja raya itu.

Advertisement