Anda di sini

Belasah aktivis, tujuh pegawai disabit

Advertisement
 Lima daripada tujuh pegawai (dari kiri) Ketua Inspektor Wong Cho-sing, konstabel Chan Siu-tan dan Kwan Ka-ho, Sarjan Pak Wing-bun dan Inspektor Kanan Lau Cheuk-ngai tiba di mahkamah di Hong Kong, semalam. Gambar sisipan menunjukkan (dari kiri) konstabel Lau Hing-pui dan Wong Wai-ho. — Gambar Reuters
BERSALAH: Lima daripada tujuh pegawai (dari kiri) Ketua Inspektor Wong Cho-sing, konstabel Chan Siu-tan dan Kwan Ka-ho, Sarjan Pak Wing-bun dan Inspektor Kanan Lau Cheuk-ngai tiba di mahkamah di Hong Kong, semalam. Gambar sisipan menunjukkan (dari kiri) konstabel Lau Hing-pui dan Wong Wai-ho. — Gambar Reuters

HONG KONG: Tujuh pegawai polis Hong Kong didapati bersalah semalam menyerang seorang penunjuk perasaan semasa perhimpunan prodemokrasi pada 2014, dalam serangan yang dirakam dan disiarkan di seluruh dunia.

Ketujuh-tujuh mereka didapati bersalah melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan sebenar ke atas aktivis Parti Sivik Ken Tsang, 41, tetapi tidak didapati bersalah atas dakwaan lebih serius menyebabkan kecederaan parah dengan niat.

Dakwaan itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun.

Video serangan itu yang dirakamkan oleh sebuah rangkaian tempatan berhampiran ibu pejabar kerajaan perbandaran mengejutkan penduduk dan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap pasukan polis yang disegani.

Ia menunjukkan sekumpulan lelaki mengheret Tsang yang digari ke satu sudut gelap di taman awam lalu membelasahnya.

Seorang lelaki yang berdiri di depannya melepaskan tumbuhan bertubi-tubi manakala tiga yang lain menendangnya berkali-kali.

Polis telah dikritik atas layanan yang agak kasar terhadap penunjuk perasaan sepanjang 79 hari perhimpunan dan sekatan jalanan yang menyebabkan sebahagian bandar raya itu lumpuh.

Penunjuk perasaan menuntut pilihan raya yang bebas sepenuhnya bagi bakal pemimpin Hong Kong.

Mahkamah Daerah Hong Kong mendapati seorang pegawai telah memijak Tsang dan empat pegawai lain menendangnya.

Dua pegawai lain hanya melihat perbuatan rakan-rakan setugas mereka.

“Setiap pegawai polis bertanggungjawab mencegah perbuatan jenayah walaupun oleh rakan seperjuangan,” kata hakim David Dufton.

Ia menambah bahawa Tsang cedera di muka, leher dan kepala akibat serangan itu.

Salah seorang pegawai yang menendang Tsang turut didapati bersalah atas serangan lazim kerana menampar mukanya dua kali selepas mangsa dibawa ke balai polis.

Susulan keputusan itu, peguam bela berkata, protes tersebut telah menjejaskan moral polis apabila sejumlah pegawainya cedera.

“Kelemahan manusia mengakibatkan kemerosotan tujuh pegawai polis yang berdedikasi,” kata Lawrence Lok kepada mahkamah.

Beliau berkata, defendan Wong Cho-shing, salah seorang pegawai yang hanya melihat serangan itu, telah bekerja untuk tempoh yang lama semasa protes berkenaan serta mengalami penderaan fizikal dan lisan daripada penunjuk perasaan.

Tsang yang merupakan pekerja sosial, turut didapati bersalah tahun lepas menyerang dan melawan pegawai polis pada malam yang sama, apabila menyimbah cecair yang tidak diketahui ke arah mereka.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima minggu, tetapi dia akan merayu.

Tsang sendiri tidak hadir di mahkamah semalam tatkala mitigasi diteruskan petang semalam disusuli penjatuhan hukuman.

Sementara itu, para pegawai terbabit terus ditahan reman.

Kumpulan penunjuk perasaan bertentangan berkumpul di luar mahkamah, dengan penyokong propolis melebihi kumpulan kecil penunjuk perasaan prodemokrasi.

Hampir 1,000 orang ditahan sepanjang protes pada 2014 itu.

Ketua perhimpunan Nathan Law, Joshua Wong dan Alex Chow kesemuanya disabitkan pada Ogos lalu kerana terlibat atau menghasut penyertaan orang lain dalam protes yang melanggar undang-undang dan mencetuskan demonstrasi besar-besaran.

Mereka dijatuhi hukuman perkhidmatan komuniti atau penjara tertangguh selepas majistret menyatakan beliau percaya mereka telah menyuarakan pandangan mereka dengan jujur semasa protes tersebut, yang menyaksikan para pelajar mendaki tembok untuk memasuki kompleks kerajaan. — AFP

Advertisement