Anda di sini

Alumni SMESH rayu kerajaan percepat pembinaan semula sekolah

Advertisement

KOTA KINABALU: Alumni Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) merayu kerajaan agar mempercepatkan pembinaan semula sekolah itu di Bukit Padang.

Presiden Kelab Alumni SMESH Datin Fauziah Abu Bakar Titingan berkata, pembinaan sekolah itu di tapak asal sangat penting dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Pada suatu ketika dahulu, sekolah ini menempatkan semua pelajar cemerlang dari seluruh Sabah, namun kini pengambilan pelajar cemerlang untuk memasuki tingkatan empat tidak diteruskan memandangkan ruangan yang terhad di asrama sementara Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran.

“Pada 2015, atas faktor keselamatan bahawa bangunan SMESH yang sedia ada tidak selamat diduduki, Kementerian Pendidikan telah membenarkan pemindahan ke IPG Kent Tuaran untuk sementara waktu.

“Bagaimanapun, kemudahan di sana tidak sepenuhnya dapat digunakan oleh para pelajar SMESH memandangkan konsep perkongsian diguna pakai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam satu tinjauan ke SMESH, Ahad lalu.

Beliau berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas keprihatinan untuk memindahkan para pelajar ke IPG Kent sebagai langkah-langkah keselamatan.

Katanya, perkara yang menjadi kebimbangan adalah sekiranya pelajar SMESH tidak dapat menggunakan atau tidak bebas melakukan aktiviti pembelajaran sepenuhnya, maka prestasi sekolah itu yang dahulunya sebagai sekolah melahirkan pelajar cemerlang mungkin akan terjejas.

“Asrama sekolah asal dahulu boleh menampung jumlah pelajar sehingga 700 orang tetapi kini dihadkan kepada 500 pelajar sahaja.

“Difahamkan, bangunan asal SMESH akan dirobohkan dan akan dibina baharu dalam tempoh lima tahun dan beberapa siri lawatan oleh pihak kementerian telah dilakukan, namun setelah dua tahun berlalu, belum terdapat apa-apa perkembangan positif mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan semula SMESH di tapak asal adalah penting untuk meneruskan kecemerlangan sekolah itu selain lokasinya itu adalah sangat strategik.

Fauziah juga menjelaskan ramai ibu bapa turut mengeluh dan merayu agar satu tindakan segera diambil kerajaan untuk memastikan prestasi kecemerlangan sekolah itu dapat dikekalkan.

Katanya, satu memorandum juga akan diserahkan kepada semua pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Turut hadir semasa tinjauan itu ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMESH Sany Abdillah Ahmad.

Advertisement