Anda di sini

Inisiatif berterusan pulihara tokong tertua untuk tarik pelancong ke Miri

Advertisement
 Antara persembahan kebudayaan penuh bertenaga dan meriah menyerikan sambutan Chap Goh Mei di Tua Pek Kong Miri, malam Sabtu lalu.
WARNA-WARNI: Antara persembahan kebudayaan penuh bertenaga dan meriah menyerikan sambutan Chap Goh Mei di Tua Pek Kong Miri, malam Sabtu lalu.

INISIATIF berterusan bagi mencantikkan tokong tertua Miri, Tua Pek Kong, perlu dalam usaha dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata, tokong terbabit yang berusia 103 tahun itu boleh menjadi tarikan pelancongan untuk melihat kebudayaan dan sejarah tokong tersebut.

Tokong ini merupakan yang tertua di Miri dan usaha untuk mencantikkan atau mengekalkan keindahan sekitarnya adalah penting.

Ia bertujuan untuk dijadikan tarikan pelancong khasnya pada musim perayaan seperti sambutan perayaan atau aktiviti-aktiviti kebudayaan masyarakat Cina di sini,” katanya.

Jelas Lee, usaha menarik pelancong datang untuk melihat keindahan yang terdapat di Miri bukan hanya membantu meningkatkan industri pelancongan, bahkan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat tempatan.

Bukan hanya memastikan tokong ini cantik, bahkan juga kebersihan perlu dijadikan keutamaan agar ia sentiasa dalam keadaan bersih.

Menarik pelancong untuk melihat tokong tertua di sini juga secara tidak langsung turut membantu meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata demikian pada majlis perasmian sambutan Chap Goh Mei di tokong terbabit pada malam Sabtu lalu.

Mengulas mengenai sambutan Chap Goh Mei tersebut, Lee memberitahu perayaan tersebut menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baharu Cina selain lambang kekayaan budaya masyarakat Cina yang perlu dihargai dan dikekalkan.

Chap Goh Mei disambut selepas 15 hari perayaan Tahun Baharu Cina. Ia diraikan dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran dan juga diadakan makan besar bersama keluarga.

Kita juga perlu bersyukur kerana diberi kebebasan untuk meraikan kepercayaan serta budaya yang turut membolehkan masyarakat berbilang kaum hidup dalam suasana aman damai dan bertoleransi,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 1,000 masyarakat setempat hadir membanjiri Tua Pek Kong yang diserikan dengan pelbagai budaya Cina yang penuh warna-warni seperti tarian singa dan naga, persembahan kebudayaan serta nyanyian.

Ia merupakan acara tahunan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri.

Hadir sama ialah ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri Pemanca Yong Vui Seng, Penyelia Tua Pek Kong Tan Choon Wei, serta wakil-wakil ketua masyarakat Cina dan kaunselor.

__alt__
 (Dari tiga kiri) Yong, Lee, Yii dan Ting bersama tetamu yang lain menyaksikan persembahan kebudayaan pada sambutan Chap Goh Mei di Tua Pek Kong di Miri, Sabtu lalu.
UNTUK ALBUM: (Dari tiga kiri) Yong, Lee, Yii dan Ting bersama tetamu yang lain menyaksikan persembahan kebudayaan pada sambutan Chap Goh Mei di Tua Pek Kong di Miri, Sabtu lalu.
  • oleh
  • Advertisement