Anda di sini

Kemenangan pencetus semangat

Advertisement
 Penjaga gawang Sarawak, Mohd Shahril Sha’ari (dua kiri) menepis bola yang disepak pemain Pulau Pinang pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri Batu Kawan malam kelmarin. — Gambar Bernama
TEPIS: Penjaga gawang Sarawak, Mohd Shahril Sha’ari (dua kiri) menepis bola yang disepak pemain Pulau Pinang pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri Batu Kawan malam kelmarin. — Gambar Bernama

Skuad bimbingan David Usop raih tiga mata berharga benam Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop menyuarakan kegembiraannya apabila skuad Ngap Sayot meraih tiga mata berharga ketika menumpaskan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan dalam aksi Liga Super 2017 malam kelmarin.

 Penyerang import, Mark Andrew Hartmann muncul wira apabila menyumbat gol tunggal perlawanan sekali gus membantu melonjakkan Sarawak di kedudukan kesembilan dengan empat mata setakat ini.

 Ternyata kemenangan tersebut menyuntik semangat baharu kepada pemain- pemain Sarawak untuk meneruskan rentak cemerlang pada aksi berikutnya.

 David ketika dihubungi semalam amat berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang memihak kepada skuadnya meskipun hanya menang tipis (1-0).

 “Apa yang penting kita berjaya memperolehi kemenangan dan membawa balik tiga mata penuh dari Pulau Mutiara (Pulau Pinang).

 “Walaupun persembahan pasukan kita kurang memuaskan namun saya amat gembira skuad kita pulang dengan tiga mata bermakna,” katanya.

 Mengakui tuan rumah banyak menguasai perlawanan, namun David tetap memuji persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mengekang kemaraan skuad Harimau Kumbang.

 Katanya, Sarawak tidak mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan namun berjaya memperolehi satu gol sudah cukup memadai.

 “Pulau Pinang mempunyai banyak peluang tetapi tidak bernasib menjaringkan gol dan kita pula tidak ada peluang, namun Mark bijak menyempurnakan peluang menjaringkan gol selepas menerima hantaran cantik daripada Mateo Roskam.

 “Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan kita yang bekerja keras untuk menyerapkan tekanan dan serangan pasukan tuan rumah walaupun kita kehilangan dua pemain sayap muda (Nur Shamie Iszuan dan Abdul Rahim Abdul Razak yang dilanda kecederaan,” katanya.

 Selepas ini , Sarawak melayan kunjungan MISCMUFA pada saingan kempen Piala FA di Stadium Negeri malam esok (Selasa) sebelum meneruskan kempen Liga Super 2017 menentang Melaka United di laman sendiri pada 18 Februari ini.

 Sehubungan itu, Bernama melaporkan kekalahan Pulau Pinang menentang Sarawak malam kelmarin menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri, Batu Kawan.

 Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

 Sebelum itu, ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

 Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan RELA dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di pekarangan stadium sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

 Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan RELA dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

 Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

 Pulau Pinang tewas 1-0 kepada Sarawak iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga setakat ini.

Advertisement