Anda di sini

Kerjasama bantu atasi masalah sosial komuniti

Advertisement

KUCHING: Kemelut dan isu sosial dihadapi masyarakat hari ini akan ditangani segera demi masa depan lebih terjamin.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerjasama semua pihak amat penting memastikan masalah sosial dapat diselesai.

Justeru katanya, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Negeri Sarawak merupakan salah satu badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting serta mampu memberi impak kepada generasi wanita Muslim bakal peneraju kepimpinan masa akan datang.

Dengan pelbagai kemelut dan isu sosial dihadapi hari ini, kita mesti sedar bahawa kita wajib memikirkan mengenai masa depan.

Hal ini kerana masa sudah berlalu tidak dapat kita ubah, tetapi masa  depan boleh kita pengaruhi dengan niat, pilihan dan tindakan. Justeru, kita mesti berganding bahu bekerjasama mengatasi masalah sosial ini,” katanya.

Hasidah berkata demikian ketika mewakili isteri Ketua Menteri, Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang semasa merasmikan Mesyuarat Agung PPIM Perhubungan Negeri Sarawak Ke-15 di sebuah hotel di sini semalam.

Tambahnya, dengan kegawatan dan kemelut sosial berlaku sekarang, pelajar amat memerlukan pengisian bermakna supaya mampu menarik minat masing-masing.

Hasidah berkata agenda pembangunan insan merupakan keutamaan kepada agenda pembangunan negara.

Perubahan begitu cepat dalam konteks fizikal dan sosial sekeliling kita hari ini, malah masyarakat dan golongan remaja sedang berhadapan berbagai jenis ketidaktentuan konseptual dan pemahaman, makna, psikologi emosi, nilai dan tujuan sesuatu.

Apapun kita mesti cari prinsip dan hala tuju membimbing pelajar bermasalah ke arah kehidupan sebaiknya,” katanya.

Hadir sama Naib Pengerusi PPIM PN Sarawak, Salbiah Seman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon.

Majlis tersebut turut disertai 133 pelajar dan 113 guru dari 31 buah sekolah rendah dan menengah di Bahagian Kuching dan Samarahan.

Advertisement