Anda di sini

PERKESO bayar RM7,337,941 kepada 950 kes pelbagai faedah

Advertisement
 Wong Then Sang menerima ceknya daripada Hajiji, diperhatikan oleh (dari kiri) Ali, Madius, Zakaria dan Ibnu.
PELBAGAI FAEDAH: Wong Then Sang menerima ceknya daripada Hajiji, diperhatikan oleh (dari kiri) Ali, Madius, Zakaria dan Ibnu.

TUARAN: Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sabah telah membuat pembayaran kepada 950 kes pelbagai faedah berjumlah RM7,337,941 di Kota Kinabalu.

Manakala seluruh Sabah, pembayaran terhadap 2,174 kes pelbagai faedah berjumlah RM12,487,465, kata Pengarah PERKESO Sabah Ali Mohd Hindia di Majlis Penyerahan Cek Faedah Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat di Pantai Dalit, di sini.

Beliau berkata PERKESO telah diamanahkan untuk melaksanakan atau menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Sosial Pekerja 1971.

“Melalui Akta dan Peraturan, PERKESO memberi jaminan rawatan perubatan percuma, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional serta faedah kewangan kepada pekerja sekiranya mereka mengalami hilang upaya akibat kemalangan ataupun menghidap penyakit yang menyebabkan mereka kekurangan upaya untuk bekerja, ataupun tidak berupaya langsung untuk bekerja lagi.

“Sekiranya pekerja meninggal dunia, orang tanggungan mereka diberi jaminan kewangan dengan menerima pencen bulanan bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Ali berkata, PERKESO melindungi pekerja yang layak melalui dua skim perlindungan iaitu Skim Insuran Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan, pekerja dilindungi daripada kemalangan yang berlaku sewaktu di tempat kerja, dalam perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaan dan penyakit khidmat.

“Manakala di bawah Skim Pencen Ilat, skim ini memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja terhadap keilatan atau kematian akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan,” jelas beliau.

Pada majlis itu, seramai enam pekerja telah menerima berbagai faedah daripada PERKESO.

Cek-cek untuk mereka telah disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Hajiji Noor yang juga ADUN Sulaman dan Menteri Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mereka ialah Wong Then Sang, Recherd Saimin, Ed Guzman Monette Marcus, Nordin Madin, Allahyahamah Roslin Pie (diwakili bapanya Pie Said), dan Allahyarhamah Sarnah Dualang (diwakii dudanya Musa Gusti).

Wong, Guzman dan Recherd menerima Bayaran Hilang Upaya Sementara, manakala Nordin menerima Bayaran Pertama Faedah Hilang Upaya Kekal, Allahyarhamah Ruslin menerima Bayaran Pengurusan Mayat dan Faedah Pencen Penakat kepada bapa, manakala Allahyarhamah Sarnah menerima Bayaran Faedah Pertama Pencen Penakat.

Hadir menyaksikan acara penyampaian cek itu ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Edris, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Ginun Yangus dan Pegawai Daerah Tuaran AM Ibnu AK Baba.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pusat KKTP Datuk Francis Goh dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli Datuk Jahid Jahim.

Advertisement