Anda di sini

Pengwujudan Peti Aduan Disiplin Murid disokong

Advertisement

Malahan KGBS turut berharap agar cadangan itu dapat dilaksanakan dengan segera di sekolah-sekolah

KUCHING: Langkah mewujudkan Peti Aduan Disiplin Murid khusus untuk membendung salah laku pelajar di semua sekolah menengah dan rendah di seluruh negara turut disambut baik Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).

Presidennya Ahmad Malie berkata, malahan kesatuan berharap agar cadangan itu dapat dilaksanakan dengan segera di sekolah-sekolah.

Dengan adanya peti cadangan ini, KGBS yakin dapat mengurangkan gejala murid berkelakuan tidak sihat demi keselamatan murid lain di sekolah.

KGBS menyambut baik serta menyokong penuh usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menangani murid yang melakukan kesalahan tingkah laku di sekolah melalui peti aduan ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, Selasa lalu.

Menurut Ahmad, dengan adanya kotak aduan itu, ia akan dapat menarik murid secara sukarela membuat aduan berkaitan masalah tingkah laku di kalangan mereka melalui peti aduan yang disediakan di sekolah.

Katanya KGBS yakin sepenuhnya dengan mewujudkan peti aduan itu, akan dapat membendung murid daripada melakukan kesalahan disiplin.

Ini kerana murid-murid dapat membantu untuk melaporkan tentang berlakunya kejadian murid yang melakukan salah laku.

Bagaimanapun KGBS dalam hal ini turut menegaskan agar identiti murid yang membuat laporan harus dirahsiakan seperti yang dijanjikan oleh pihak polis.

Ini bertujuan memastikan keselamatan murid yang membuat laporan akan terjamin,” katanya.

Sementara itu, memetik BERNAMA pada Ahad lepas, pihak pengurusan sekolah menengah dan rendah di seluruh negara diarah menyediakan Peti Aduan Disiplin Murid khusus untuk membendung salah laku murid terutama dalam jenayah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan adanya peti aduan itu, murid boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak sekolah yang kemudiannya dipanjangkan kepada polis.

Aduan yang dibuat murid ini adalah rahsia. Murid tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan murid yang terbabit dalam salah laku ini.

Ia di bawah seliaan guru disiplin dan semua maklumat berkenaan akan disampaikan kepada anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditugaskan di setiap sekolah,” kata Mahdzir.

  • oleh
  • Advertisement