Anda di sini

Label produk berkaitan haiwan, elak kekeliruan

Advertisement

Kebanyakan pengguna beli berus hanya mengikut cadangan penjual atau pilih harga berpatutan

MIRI: Kedai runcit atau pasar raya perlu meletakkan tanda atau label bagi setiap produk berkaitan haiwan dijual di premis masing-masing termasuk produk bulu babi yang kini menjadi isu.

Juruaudit Halal Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ameza Bayu Othman berkata, kebanyakan pengguna membeli produk bulu seperti berus hanya akan mengikut cadangan penjual atau memilih harga berpatutan sahaja.

Terdapat juga pengguna masih keliru membezakan berus berkenaan terutama bahan atau material berus yang ingin dibeli.

Mereka hanya bertanya kepada penjual dan kemudiannya mengikut cadangan atau membeli berus pada harga berpatutan serta murah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu lambakan produk bulu babi dijual di pasaran dan cadangan memaparkan maklumat lebih jelas berbanding mengguna kod seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam.

Jelasnya, semua produk menggunakan bulu haiwan seperti berus kelihatan sama, namun dari segi bahan diguna amat berbeza.

Ada antara berus dijual diperbuat daripada bulu haiwan, ada juga yang diperbuat daripada polimer atau sintetik.

Pengguna perlu mengetahui cara melihat berus yang ingin mereka beli. Contohnya, bulu berus diperbuat daripada bulu babi, bulunya lebih bercabang pada hujungnya berbanding bulu kambing atau kambing biri-biri lebih tajam pada hujungnya sekiranya dilihat mata kasar.

Bagaimanapun tidak mudah untuk menentukan status halal untuk berus memandangkan sebarang bentuk berus yang diperbuat daripada bulu haiwan tidak digunakan untuk pensijilan halal,” katanya.

Kata Ameza, selain melihat dari mata kasar, ujian pembakaran turut boleh diguna bagi menentukan bahan berus berkenaan.

Untuk bulu haiwan, ia lebih kepada bau seperti rambut dibakar manakala berus diperbuat daripada polimer atau sintetik akan menghasilkan bau plastik jika dibakar,” tambahnya.

Sementara Dayang Norazelina Hamdan pula mengakui bahawa dirinya tidak tahu membezakan antara berus yang diperbuat daripada bulu babi atau haiwan lain.

Katanya memaparkan maklumat lebih jelas atau meletakkan tanda ‘Tidak Halal’ di ruang yang berkaitan wajar dilaksanakan.

Menurutnya, perkara berkenaan perlu dipandang serius oleh pihak berkaitan untuk memelihara dan menghormati sensitiviti Islam.

Saya sendiri tidak dapat memastikan sama ada berus terbabit diperbuat daripada bulu babi atau haiwan lain.

Kalau nak beli berus diperlukan, biasanya kita akan bertanya terlebih dahulu kepada penjual sekiranya dibeli di kedai manakala kalau di pasar raya kebiasaannya adalah bulu diperbuat daripada sintetik.

Justeru, saya yakin selain pemantauan menyeluruh dan konsisten serta serius daripada pihak berkuasa, isu ini juga perlu diurus dengan bijak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement