Anda di sini

JBALB dalam proses akhir bina Loji Rawatan Air Tinjar

Advertisement

MIRI: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Tinjar yang tertangguh sejak sekian lama, sudah siap dengan pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kini dalam proses memperbaiki kebocoran pada tangki, sebelum ia boleh diluluskan untuk beroperasi. 

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memberitahu, beliau juga sudah mengarah Pegawai Tadbir (SAO) Belayong Pok untuk berurusan dengan pihak jabatan bagi membantu pemilik kedai di kawasan Long Lapok memproses permohonan mereka dengan segera.

Saya mengarahkan SAO Belayong berhubung dengan JBALB supaya membuka kaunter khusus untuk pemilik kedai, bagi mendapatkan dan mengisi borang permohonan perlu untuk memboleh penyambungan air bersih ke premis masing-masing,” katanya kepada Utusan Borneo.

Penguang berkata bagi bekalan air dari loji rawatan terbabit ke kawasan sasaran dijangka dilakukan dalam masa terdekat sekali gus membuka jalan untuk kerja pembersihan di pekan kecil Long Lapok.

Sambungan bekalan air bersih ke kediaman dan premis sekitar pekan kecil ini merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan penduduk dan golongan peniaga yang terpaksa bersabar dengan keadaan jalan licin serta berlumpur ketika musim hujan dan kemudian bertukar menjadi debu tebal menyesakkan, terutama pada musim kering.

Keadaan ini berlaku disebabkan tiadanya bekalan air ke kawasan pekan kecil itu bagi membolehkan mereka membersihkan premis, rumah atau sekitar kaki lima kawasan kediaman atau bangunan kedai masing-masing.

Pekan kecil Long Lapok terletak kira-kira 112 kilometer dari bandar raya Miri atau sejam setengah perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, tidak pernah mempunyai kemudahan bekalan air bersih dan elektrik sejak ia diwujudkan lebih setengah abad lalu. 

  Menurut Penguang lagi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kawasan Marudi telah diperuntukkan RM22 juta bagi memperluaskan sambungan bekalan air bersih ke rumah-rumah panjang di kawasan itu yang akan mendapatkan kemudahan bekalan air bersihnya daripada Loji Rawatan Air Tinjar yang bernilai RM27 juta dan dibangunkan di Long Lapok.

Loji rawatan air ini pula dibina dengan kapasiti yang membekalkan tiga juta liter sehari berserta tangki-tangki airnya,” katanya.

Penguang berkata fasa pertama merangkumi pemasangan saluran paip, sudah disiapkan pada Januari 2011 dan pengagihan saluran paip sudahpun tiba di kebanyakan rumah panjang kawasan berkenaan dan hanya menunggu loji rawatan air beroperasi dengan pihak kontraktor yang terpaksa berdepan dengan halangan teknikal di tapak lokasi.

Selain bekalan air bersih, perkara seterusnya yang dituntut oleh penduduk Long Lapok daripada wakil rakyat baharu, Penguang memenangi Pilihan Raya Negeri pada Mei 2016 yang lalu ialah sambungan ke sistem grid utama negeri, bagi mendapatkan bekalan elektrik 24 jam, selepas pemilik premis dan bangunan kedai enggan untuk tampil membayar kos sambungan yang mencecah hingga RM20,000.

Isu berkenaan telah diberi perhatian dan dibangkitkan oleh wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon baru-baru ini.

Pemilik kedai pada mulanya dikehendaki membayar RM20,000 untuk yuran penyambungan tersebut, seperti yang ditetapkan dalam kontrak tetapi kemudian ditolak oleh pemaju, memandangkan bekalan elektrik daripada sistem grid ini masih belum dapat mencapai kawasan Long Lapok.

Long Lapok dan kawasan Ulu Teru hanya disambungkan ke sistem grid pada akhir tahun lepas.

Penguang berkata beliau akan mendapatkan dana untuk subsidi bagi sambungan ke sistem grid utama negeri dan berjanji untuk membantu mereka memperolehi kedua-dua kemudahan asas yang amat didambakan itu.

Sehingga kini, masyarakat peniaga di pekan kecil itu dan penduduk kampung di kawasan sekitarnya, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jana kuasa elektrik untuk beroperasi dan memperolehi bekalan elektrik.

Advertisement