Anda di sini

Curi bateri pencawang, lima lelaki dicekup

Advertisement

Pelbagai barangan termasuk kereta turut dirampas dalam operasi JSJ IPD Bintulu

BINTULU: Lima lelaki diberkas Pasukan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada pagi dan petang kelmarin kerana disyaki terlibat kes kecurian bateri pencawang sebuah syarikat telekomunikasi di sini.

Penangkapan dua suspek diketuai Inspektor Nixon Malang telah dibuat di Batu 2 Jalan Sultan Iskandar di sini pada jam 2 pagi dan tiga lagi suspek ditangkap pada petangnya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zailanni Amit berkata, selain penangkapan suspek di bawah Seksyen 23(1) Kanun Prosedur Jenayah, barang lain yang turut dirampas ialah sebuah kereta, anak kunci, sebatang besi, beg sandang, spanar, lampu suluh dan tukul playar.

Hasil temu bual pada jam 4 petang hari sama, suspek sedia menunjukkan tempat mereka menjual barang-barang yang disyaki curi tersebut.

Sekitar jam 4.45 petang dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pihak polis telah di bawa ke sebuah premis di Batu 6 di sini dan menemui seorang lagi lelaki di premis terbabit yang dikatakan membeli 12 unit bateri Bp Solar PvStor 2p430 daripada dua suspek tersebut.

Lelaki terbabit turut ditangkap dan bateri dibeli lelaki itu turut dirampas polis berserta tiga keping resit jualan atas nama seorang lagi lelaki,” ujarnya di sini semalam.

Susulan itu katanya, lebih kurang jam 5.30 petang semasa disoal siasat lanjut, dua suspek mendedahkan dua lagi rakan mereka masih bebas serta memberitahu sedia untuk menunjuk tempat dua rakan berada.

Katanya, polis dibawa ke tempat dinyatakan dengan dipandu arah oleh dua suspek ke sebuah rumah di Taman Putra Jaya Jalan Sebiew di sini dan mendapati dua suspek yang disyaki turut terlibat dalam kes tersebut berada dalam rumah itu yang mana turut ditangkap.

Hasil siasatan awal ke atas suspek juga mengaku serta mendedahkan kegiatan mereka melakukan kecurian bateri di pencawang-pencawang syarikat telekomunikasi berkaitan di sekiar Bintulu.

Setakat ini hanya satu pengecaman dibuat ke atas barang kes oleh syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya.

Jelasnya, pembeli barang kes juga sedia untuk membawa pihak polis ke tempat barang-barang kes lain yang disimpan, manakala reman  ke atas semua tertuduh telah dimohon kepada mahkamah semalam.

 Dua belas unit bateri pencawangan syarikat telekomunikasi yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Dua belas unit bateri pencawangan syarikat telekomunikasi yang dirampas daripada suspek.
  • oleh
  • Advertisement