Anda di sini

SMK Santubong jadi sekolah perintis Program Sekolah Angkat JKJR

Advertisement
 Arifin (tengah) memakaikan topi keledar kepada seorang pelajar SMK Santubong sebagai simbolik penyerahan yang turut disertai tetamu jemputan lain.
UNTUK KESELAMATAN: Arifin (tengah) memakaikan topi keledar kepada seorang pelajar SMK Santubong sebagai simbolik penyerahan yang turut disertai tetamu jemputan lain.

SANTUBONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong menjadi sekolah perintis Program Sekolah Angkat di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).

Ketua Pengarah JKJR Datuk Arifin Che Mat berkata, program berkenaan adalah bagi inisiatif yang diambil bagi memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

Kita akan menjadikan SMK Santubong sebagai sekolah perintis kita dengan menjadikannya sebagai Sekolah Angkat.

Dalam perkara ini, JKJR akan melakukan pemantauan dari segi pelajar yang tidak mempunyai lesen dan layak untuk diberi peluang mendapatkan lesen dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan institut memandu.

Sementara bagi yang sudah mempunyai lesen, kita akan meningkatkan lagi kesedaran mereka tentang mematuhi peraturan dan begitu juga yang tidak layak mendapat lesen, kita akan nasihatkan ibu bapa untuk tidak membenarkan anak mereka menunggang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong yang turut dihadiri Pengarah JKJR Sarawak Davina Agnes Enteli dan Pengetua SMK Santubong Chai Nyi An di SMK Santubong di sini, semalam.

Tambah Arifin, pemilihan SMK Santubong itu kerana sekolah berkenaan yang berisiko tinggi di mana daripada 604 pelajarnya, sebahagian besar daripada mereka tinggal berdekatan dan menjadikan motosikal sebagai kenderaan ke sekolah.

Bagi JKJR, kami melihat isu ini amat serius kerana jika ada pelajar menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen, adalah amat berbahaya begitu juga yang ada lesen tetapi tidak mematuhi peraturan.

Maka itu kita cuba memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada pelajar di sini melalui program hari ini juga iaitu Kempen Keselamatan Jalan Raya bersama mereka  agar mereka lebih mematuhi peraturan dan memikirkan tentang keselamatan,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama menyatakan bahawa ibu bapa khasnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah harus memainkan peranan bersama dengan meningkatkan kesedaran kepada anak mereka.

Katanya mereka juga harus memastikan anak mereka selamat dari rumah ke sekolah dan begitu juga sebaliknya.

Maka itu pada hari ini, kita melancarkan program kesedaran ini di SMK Santubong untuk memupuk kesedaran dan kita tidak keseorangan kerana mendapat kerjasama padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri, Shell, Puspakom dan JPJ,” katanya.

Jelasnya dalam menangani isu keselamatan jalan raya termasuk di negeri ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak memandangkan isu itu adalah isu semua untuk mengurangkan kadar kes kematian kemalangan jalan raya.

Di Sarawak sebanyak 432 kematian dicatatkan pada 2016 berbanding 433 kematian pada 2015, iaitu penurunan satu kematian.

Advertisement