Anda di sini

Ibu kesal kematian anaknya diperalat Trump

Advertisement

SYDNEY: Ibu seorang pengembara yang dibunuh di Australia mengecam Donald Trump kerana memasukkan kematian anaknya akibat tikaman itu dalam senarai serangan pengganas yang kononnya tidak dilaporkan, dan mendakwa presiden itu menggunakan anak perempuannya untuk memburukkan orang Islam.

Pemimpin Amerika Syarikat itu pada minggu ini menuduh media yang “tidak jujur” sengaja tidak melaporkan serangan oleh pejuang jihad yang radikal, tetapi tidak pula mengemukakan bukti, ekoran larangan perjalanannya yang kontroversi ke atas orang dari tujuh buah negara majoriti Islam.

Rumah Putih mengedar senarai 78 insiden yang ia dakwa “dilaksanakan atau diihamkan oleh” kumpulan Islamic State, dan berkata kebanyakannya “tidak menerima perhatian media yang sewajarnya”.

Lima serangan di Australia dimasukkan, termasuk serangan ke atas sebuah kafe di Sydney pada 2014 yang menerima perhatian media global, dan kematian dua pengembara British, Mia Ayliffe-Chung, 21 tahun, dan Tom Jackson, 30 tahun, selepas ditikam pada tahun lepas.

Agence France-Presse memfailkan lima laporan mengenai pembunuhan pengembara tersebut yang turut dilaporkan dengan meluas oleh media British dan media lain di Australia dan seluruh dunia.

Dalam sepucuk surat kepada Trump yang disiarkan dalam media sosial, ibu Ayliffe-Chung, Rosie Ayliffe, berkata ia adalah salah untuk mengaitkan kematiannya dengan fundamentalisme Islam.

Kemungkinan bahawa kematian Mia dan Tom adalah akibat serangan pengganas Islam telah ditolak pada peringkat awal siasatan polis,” katanya.

Smail Ayad, seorang warga Perancis, telah didakwa atas tuduhan membunuh mereka di sebuah hostel pengembara di Home Hill, sebuah bandar desa di negeri utara, Queensland.

Polis berkata mereka tidak menjumpai sebarang tanda radikalisasi walaupun Ayad menyebut “Allahu Akbar” (Tuhan Maha Besar) sewaktu serangan, dan menolak sebarang kaitan dengan pengganas.

Petunjuk tiada sama sekali bahawa sebarang radikalisasi atau sebarang motif politik wujud untuk menyebabkannya menyerang orang seperti apa yang dia lakukan,” kata Superintenden Penyiasat Ray Rohweder di satu sidang akhbar Ogos lalu.

Rosie Ayliffe berkata “mana-mana orang bodoh boleh menjerit Allahu Akbar ketika mereka melakukan jenayah” dan berkata dia sudah mengembara dengan meluas dalam dunia Islam dan “hanya menemui sikap hormat dan hospitaliti”.

Cacian ke atas seluruh negara dan rakyat mereka ini berdasarkan agama merupakan satu peringatan yang menakutkan tentang keburukan yang boleh berlaku apabila kita membiarkan diri dipimpin oleh orang yang jahil ke dalam kegelapan dan kebencian,” tambahnya dalam surat berkenaan.

Kematian anak saya tidak akan digunakan untuk memperjuangkan penindasan gila ini ke atas orang tidak bersalah.”

Turut tersenarai adalah serangan di Paris pada 13 November 2015, serangan trak di Nice pada 14 Jun 2016, dan serangan besar-besaran di San Bernardino, California pada Disember 2015, yang sebenarnya mendapat liputan akhbar seluruh dunia selama berminggu-minggu. — AFP

Advertisement